Peringkat bayi dan kanak-kanak adalah peringkat paling kritikal untuk mempelajari bahasa. Gangguan dalam peringkat ini memberi kesan yang amat besar terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan mereka. Bermula sejak lahir hingga tiga tahun pertama adalah masa kritikal. Bahasa dan pertuturan kanak-kanak berkembang seiring kematangan dan tumbesaran otak mereka. Kanak-kanak juga banyak melihat dan mendengar apa di sekeliling mereka. Komunikasi bermula sejak lahir. Contoh, bayi menangis minta lampin ditukar, meminta susu dan sebagainya. Komunikasi ini akan terus berkembang bila umur mereka bertambah.
0 – 6 bulan
- Senyum apabila mendengar suara ibu/penjaga
- Menggerakkan kepala & mata ke arah bunyi
- Mengeluarkan bunyi-bunyian seperti mengekur dan nyaring
7- 11 bulan
- Membabel- ‘baba’, ‘mama’, ‘dada’ tanpa maksud tertentu
- Faham perkataan ‘jangan’ dan arahan mudah seperti ‘bye-bye’, ‘salam’
- Meniru bunyi mudah seperti bunyi binatang dan kenderaan
1 tahun
- Meniru sukukata perkataan, contoh: ‘bola’ à /la/, ‘abah’ à /bah/
- Menguasai 10-25 perkataan
- Dapat menunjukkan bahagian badan asas
- Menggunakan kata sosial, contoh ‘hello’, ‘bye-bye’
- Memanggil nama ahli keluarga terdekat
2 tahun
- Menguasai kira-kira 50 perkataan
- Menggabungkan 2-3 patah perkataan
- Mengikut arahan tanpa bantuan isyarat
- Tumpuan terhadap sesuatu aktiviti selama lebih kurang 5 minit
3 tahun
- Bercerita menggunakan ayat lebih panjang dan sempurna kira-kira 3-4 perkataan
- Dapat menyebut nama penuh
- Faham soalan ‘apa’, ‘bila, ‘mana’, dan ‘bagaimana’
4 tahun
- Faham konsep seperti warna dan saiz
- Dapat menjawab soalan tentang fungsi objek
- Menggunakan ayat dengan kata hubung seperti ‘dan’, ‘dengan’
- Menyebut bunyi konsonan kira 90% secara tepat
5 tahun
- Bercerita tentang sesuatu topik dengan ayat panjang, kira-kira lebih dari 5 perkataan
- Menggunakan sambungan kompleks seperti ‘selepas itu’, ‘atau’ dan ‘tetapi’
- Faham arahan kompleks
- Bahasa dan pertuturan menyamai orang dewasa
(Sumber: Poster Terapi Pertuturan KKM)
Apa Itu Pelat?
Ramai ibu bapa yang tertanya-tanya samada anak mereka pelat atau tidak. Sama seperti kemahiran fizikal, kanak-kanak akan meniarap, merangkak, berjalan sebelum dapat berlari. Begitu juga dengan pertuturan kanak-kanak. Pelat merupakan ‘kesalahan sebutan’ yang terjadi pada peringkat umur tertentu. Ia melibatkan masalah penghasilan bunyi(artikulasi) dan juga pola bunyi (fonologi).Kanak-kanak sepatutnya mahir menyebut bunyi tertentu apabila mencecah umur yang tertentu.
Berikut merupakan panduan umum bila bunyi mula dikuasai
36 bulan
/n/, /m/, /p/, /h/, /t/
40-44 bulan
/f/, /w/, /ng/, /b/, /g/
48 bulan
/s/, /j/, /d/
48+ bulan
/r/, /l/, /sh/, /ch/, /z/, /v/, /j/, /th/
Proses-proses fonologi berikut sepatutnya sudah tiada pada kanak-kanak berumur 3 tahun
Buang sukukata yang tidak ditekankan
- telefon à tepon
- (sukukata ‘le’ dibuang)
Buang konsonan akhir
- dam à da
- (konsonan akhir ‘m’ dibuang)
Samakan konsonan (pengaruh konsonan terhadap konsonan lain)
- kasut à atut
- (s à t (konsonan kedua))
Reduplikasi (ulangan)
- makan à mamam
- (sukukata ‘ma’ diulang 2 kali)
Pendepanan (bunyi belakang ‘k’ dan ‘g’ ditukar ke bunyi depan)
- kaki à tati
- (k à t (bunyi depan))
- Semasa umur 5 tahun, proses fonologi akan berhenti dan sebutan mereka mula menyerupai orang dewasa. Tetapi ada juga yang berterusan sehingga berumur 7 tahun. Selepas umur 7 tahun, kanak-kanak sepatutnya tidak lagi pelat.
Panduan lain yang boleh disemak ialah:
- Ibu bapa sepatutnya memahami sekurang-kurangnya 50% percakapan anak-anak berumur 2 tahun
- Ibu bapa sepatutnya memahami kira-kira 90% percakapan anak-anak berumur 3 tahun
- Orang asing sepatutnya memahami kira-kira 50% percakapan kanak-kanak berumur 3 tahun
- Orang asing sepatutnya memahami kira-kira 100% percakapan kanak-kanak berumur 4 tahun
Pelat boleh terjadi atas beberapa faktor, antaranya:
- Umur dan peringkat bahasa & pertuturan masih rendah
- Kecederaan otak, contoh: kemalangan
- Masalah oromotor
- Masalah sengau
- Sumbing(Cleft)
- Lidah pendek (tongue tie)
Tidak perlu risau jika perkembangan bahasa dan bunyi pertuturan masih menepati tahap umur mereka. Jika tidak, anda perlu mendapatkan rawatan selanjutnya.Rujuk kepada pakar berkaitan untuk menilai keadaan anak. Dapatkan surat rujukan daripada klinik kesihatan/swasta untuk penilaian daripada Terapis Pertuturan. Berikan rangsangan bahasa yang betul. Bercakap dengan anak menggunakan perkataan yang betul. Ada ibu bapa yang cuba meniru perkataan pelat anak mereka. Ini menyebabkan anak anda keliru tentang sebutan yang betul.
Fahami Pertuturan Pelat Anak
#1 Fokus pada perkataan yang tidak difahami dan dapatkan lebih banyak maklumat tentangnya. Sebagai contoh apabila mereka bercerita berkenaan apa yang mereka lakukan di sekolah. “Wahhh…macam seronok je… adik dengan kawan main apa tadi?”
#2 Minta kanak-kanak untuk mengulang sebutan dengan lembut. Anda boleh menggunakan ayat seperti Oh…mama tak dengar adik cakap apa tadi, boleh cerita balik tak?”. Cuba juga untuk memahami apa yang dicakapkan melalui pergerakan tangan dan badan, tone suara, emosi dan juga pergerakan mata.
#3 Gunakan klu yang ada dipersekitaran jika ada. Contohnya seperti “cuba adik tunjuk apa yang adik cakap tadi”.
#4 Gunakan sokongan visual sebanyak yang boleh semasa bercerita / berbual.
Contohnya, semasa bercerita mengenai percutian keluarga, gunakan gambar yang diambil ketika bercuti. Anda boleh merujuk kepada gambar tersebut untuk mengenalpasti orang, tempat atau situasi yang diceritakannya. Perlukah Kita Memperbetulkan Kesalahan Sebutan Anak? Kanak-kanak dengan masalah pelat selalunya merasa self-conscious semasa bercakap dan perbuatan kita melakukan pembetulan kepada sebutan mereka setiap kali akan menyebabkan mereka tidak mahu bercakap lagi.
Bantuan Untuk Anak Pelat
- Perkara yang utama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan nasihat dari Terapis Pertuturan-Bahasa berkenaan bagaimana untuk melatih pertuturan kanak-kanak di rumah.
- Ini akan menentukan bila, bagaimana dan sebanyak mana latihan yang perlu dilakukan. Terapis Pertuturan-Bahasa akan memberikan cadangan yang spesifik tentang bagaimana untuk membetulkan kesalahan sebutan anak anda
- Untuk permulaan terapi, apa yang biasanya disarankan adalah ibu bapa hanya membetulkan sebutan kanak-kanak dalam satu jangka masa yang telah ditetapkan.
- Tetapkan masa yang sesuai setiap hari (dalam 10-20 minit) untuk “masa bersama ibu/bapa” untuk berlatih menyebut bunyi pertuturan. Beri tahu / jelaskan terlebih dahulu kepada anak anda berkenaan masa dan latihan yang telah ditetapkan tersebut.
- Semasa latihan, gunakan bahasa dan penerangan yang positif apabila membetulkan kesalahan. Sebagai contoh, daripada kita menggunakan “salah, cuba lagi”, kita boleh menggunakan ayat seperti “bagus..mama nampak lidah adik keluar masa sebut /s/, sekarang kita cuba sebut /s/ dengan lidah kat dalam mulut pula”.
- Setelah anak anda boleh menyebut bunyi yang diajarkan dalam masa latihan yang ditetapkan, galakkan mereka untuk menggunkan bunyi tersebut di luar masa latihan dengan mencari beberapa perkataan yang sesuai pada hari tersebut.
- Sebagai contoh, jika anda sedang mengajar bunyi /s/ kepada anak anda, perkataan yang boleh digunakan adalah seperti /sudu/ semasa makan. Beri tahu pada anak anda yang anda ingin mendengar dia menyebut bunyi /s/ yang betul pada waktu makan. Minta anak anda untuk menyebutnya dan berilah pujian setiap kali dia menyebutnya dengan betul.
- Selalu tekankan dan jelaskan apa yang telah disebut dengan betul. Sebagai contoh, jika anda mendengar anak anda menyebut /s/ dengan betul ketika berbual, berilah pujian seperti “wah, mama dengar adik cakap /s/ dengan jelas”.
- Di akhir terapi, anda akan diminta untuk memantau sebutan anak anda diluar masa latihan. Ini adalah penting untuk membantu kanak-kanak untuk membuat generalisasi dan menggunakan bunyi sebutan yang betul dalam perbualan harian mereka.
- Dapatkan nasihat dari Terapis Pertuturan-Bahasa anak anda tentang cara yang specifik untuk memantau pertuturan mereka dengan cara yang betul.
Sumber: Internet
- Perlu diingat disini adalah, tujuan utama adalah untuk meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak apabila berinteraksi dengan orang lain. Jika anda was-was mengenai perkembangan pertuturan anak anda, dapatkan nasihat dan konsultansi daripada Terapis Pertuturan-Bahasa berdekatan anda.