Adalah perkara biasa untuk tidak rasa hendak mengadakan seks dalam minggu-minggu atau bulan-bulan pertama selepas bersalin. Pertama sekali, anda mungkin rasa letih kerana tidak cukup tidur akibat menjagi bayi yang baru lahir. Jika anda menyusu badan, hormon prolaktin juga boleh mengurangkan keghairahan untuk seks. Rasa murung atau masalah kemurungan selepas bersalin anda membuatkan anda bertambah tidak mahu mengadakan seks. Bincanglah dengan doktor, bidan atau pakar kesihatan jika anda rasa ini adalah masalah bagi anda.
Anda juga mungkin rasa pedih akibat kekoyakan, episiotomi atau jahitan. Jika anda mengalami kekoyakan, atau jika bayi anda dilahirkan menggunakan alat-alat bantuan, anda mungkin mengambil lebih banyak masa untuk rasa ingin mengadakan seks semula. Ini adalah normal, dan anda harus memberi masa kepada diri anda untuk pulih. Jika anda bersalin secara caesarean pula, anda perlu sembuh daripada satu pembedahan besar.
Lenguh-lenguh mungkin hilang dengan cepat, namun kesakitan daripada jahitan atau koyakan yang teruk mungkin mengambil masa lebih lama untuk sembuh. Jahitan mungkin akan rasa sakit untuk beberapa hari atau minggu. Biarlah luka anda sembuh dan jahitan pudar dahulu sebelum mengadakan seks.
Walaupun jika anda tidak mengalami episiotomi atau kekoyakan, bahagian perineum (bahagian di antara faraj dan dubur) mungkin lebam dan sensitif untuk beberapa waktu. Jika anda menjalani caesarean, parut pembedahan sepatutnya sembuh menjelang waktu benang jahitan keluar. Jika anda masih rasa sensitif di bahagian jahitan, anda dan suami boleh cuba mencari posisi yang tidak memberi tekanan kepada parut. Mulakan perlahan-lahan untuk mengurangkan sebarang ketakutan.
Jika anda rasa tertekan, perut anda akan tegang di bahagian sekitar parut anda, dan ini akan membuatkan anda rasa tidak selesa. Anda boleh letakkan kusyen kecil yang lembut di antara perut anda dan suami. Ini dapat merelakskan anda dan membantu melindungi parut anda yang sensitif. Atau anda boleh cuba posisi anda di atas suami supaya anda boleh memegang perut dan mengelakkan parut anda daripada rasa tidak selesa.
Persepsi anda terhadap badan anda sendiri mungkin telah berubah. Anda mungkin rasa bahawa badan anda terlalu berubah akibat kehamilan dan bersalin, dan anda perlukan masa untuk pulih sebelum anda rasa seperti diri anda semula. Anda mungkin rasa bangga dengan perubahan yang berlaku akibat kehamilan, atau anda mungkin rasa sukar untuk menangani perubahan ini. Kesemua perasaan ini adalah normal dan boleh difahami. Ramai wanita yang bimbang suami mereka tidak merasakan mereka menarik lagi, tetapi apabila mereka menyuarakan kebimbangan ini, mereka sedar bahawa ini tidak benar.
Bagaimana Kalau Suami Saya Mahukan Seks Sedangkan Saya Belum Bersedia?
- Beritahu suami tentang apa yang anda rasa dan berbincanglah dengan fikiran yang terbuka. Suami anda mungkin rasa tersisih jika anda tidak mahukan seks sedangkan dia mahu, tetapi anda tidak seharusnya rasa terpaksa mengadakan seks sebelum anda bersedia. Seks sepatutnya sesuatu yang menyeronokkan, bukannya satu tugas.
- Seks tidak hanya bermakna penetrasi. Rangsangan daripada sentuhan sahaja boleh jadi sangat menyeronokkan. Perkataan dan pelukan boleh digunakan untuk menyatakan kemesraan dan emosi. Anda berdua akan mendapat manfaat daripada kemesraan ini, sehingga anda berdua bersedia untuk mengadakan seks semula.
- Suami anda mungkin rasa tidak pasti mengenai seks selepas pengalaman melihat proses kelahiran. Dia mungkin bimbang seks akan menyakitkan anda, atau dia mungkin tidak pasti mengenai perasaannya sendiri. Bincanglah mengenai apa yang membimbangkan anda berdua. Dengan berkongsi masalah dan bersikap jujur sesama sendiri, anda boleh menyelesaikan masalah ini bersama-sama.
Adakah Sebarang Tip Tentang Seks Selepas Bersalin?
- Cuba berpeluk-pelukan dan bermesra dahulu supaya anda akan beransur-ansur selesa disentuh secara seksual semula.
- Lakukan perlahan-lahan. Bersentuhan dan berciuman tanpa mengharapkan ia akan menjurus kepada seks penetratif.
- Jika anda gementar atau resah, atau bimbang ia akan menyakitkan, anda tidak akan rasa terangsang. Maka seks akan jadi tidak selesa kerana faraj anda tidak cukup basah.
- Cuba gunakan jeli pelincir jika bahagian perineal anda rasa sensitif kerana ini boleh membuatkan seks lebih selesa. Jangan guna pelincir berasaskan minyak jika anda menggunakan kondom kerana ini boleh membuatkan kondom bocor. Pelincir juga akan membantu menyelesaikan masalah kekeringan faraj yang anda alami, yang mana ia adalah sesuatu yang biasa jika anda menyus badan.
- Apabila anda rasa sudah bersedia, cuba jangan tergesa-gesa. Ia seharusnya sesuatu yang berlaku secara natural, dan anda berdua seharusnya rasa bersedia dan cukup terangsang. Cuba posisi yang tidak memberi terlalu tekanan pada mana-mana bahagian yang sensitif. Memulakannya dengan anda berada di atas bermakna anda boleh mengawal kadar dan kedalaman penetrasi.
- Jika anda mula rasa sensitif atau tidak selesa, mintalah suami berhenti seketka. Dia boleh cuba menyentuh klitoris anda perlahan-lahan. Sebaik sahaja anda rasa terangsang, anda boleh cuba semula.
- Jika keletihan ialah penghalang utama anda, cuba bersama suami semasa bayi anda sedang tidur supaya anda tidak terlalu letih untuk menikmatinya. Bayi anda mungkin akan terjaga pada bila-bila masa, tetapi anggaplah ia sebagai sesuatu yang kelakar dan tunggu sehingga peluang seterusnya tiba. Bersabarlah, keadaan akan jadi lebih mudah apabila bayi anda mula tidur sepanjang malam.
- Teruskan membuat senaman lantai pelvis untuk menguatkan semula otot faraj anda. Ini akan membantu meningkatkan keseronokkan anda terhadap seks.
- Amalkan pemakanan yang baik, minum banyak air dan berehat bila-bila sahaja yang boleh. Menjaga bayi baru sangat meletihkan. Anda perlu menjaga diri sendiri untuk meningkatkan tenaga anda.
Sumber: Internet