Menanam pokok di luar rumah boleh mencipta suasana yang berbeza. Mama tidak semestinya perlu ada landskap tersendiri dan tukang kebun.
Sendiri-sendiri pun boleh buat, sambil-sambil mengeluarkan peluh kan?
20 Jenis Pokok Hiasan Luar Rumah
Tak adalah susah sangat sebenarnya. Memang setiap jenis pokok itu berlainan cara penjagaannya. Tetapi dengan cara yang betul, halaman dan sekeliling rumah Mama akan kelihatan indah dan menyegarkan mata apabila dihiasi pokok-pokok ini:
1. Snake Plant (Lidah Jin)
Pokok lidah jin ini, ia tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak ya. Disebabkan itu jugalah ia boleh je hidup di dalam rumah.
Jadi Mama perlu letakkannya di kawasan yang agak redup, yang tidak menerima cahaya matahari direct untuk jangka masa yang lama.
Menurut Property Guru, ia boleh memperelokkan kualiti udara dengan menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oxigen. Ia juga tidak memerlukan air yang banyak. Jadi Mama tidak perlu risau jika rutin harian Mama sibuk dan tidak sempat menjaganya.
Kalau hujan turun tu pun dah cukup.
2. Fiddle Leaf Fig
Antara tarikan pada pokok fiddle leaf fig ini ialah, bentuk daunnya. Ia besar dan lebat, serta struktur daunnya yang unik.
Batangnya pula boleh tumbuh dengan tinggi, sesuai kalau Mama nak tanamnya membentuk seakan-akan pagar atau laluan di halaman.
Ia memerlukan cahaya matahari yang cukup dan cara menyiramnya pula tidaklah susah, tetapi hanya perlu siram apabila tanahnya mulai kering pada ukuran 1 inci dari permukaannya.
3. Aloe Vera (Lidah Buaya)
Pokok lidah buaya pun merupakan antara yang popular kan? Bukan sahaja untuk hiasan tetapi lebih kepada manfaatnya yang pelbagai.
Kalau kulit sensitif ke, rambut kerap gugur dan luka terkena air panas ke, boleh ambil isi dan gel daun lidah buaya ni dan sapu secara berkala. Memang akan nampak hasilnya!
Ia perlu cahaya matahari yang cukup dan siraman air yang kerap. Ada yang suka tanam di dalam pasu dan ada juga yang tanam terus je di atas tanah.
Mana-mana pun boleh.
4. Wandering Jew
Pokok ni pun boleh ditanam di dalam rumah kerana ia boleh hidup dengan hanya diletakkan di dalam air.
Ramai yang tanam pokok ini di luar rumah juga, tetapi mestilah tidak mendapat cahaya matahari secara terus berpanjangan kerana ia hanya memerlukan cahaya matahari yang sederhana dan cerah.
5. Apu-Apu (Water Cabbage/Water Lettuce)
Mesti Mama pernah tengok pokok ini kan? Pokok apu-apu ni biasanya orang letak dalam kolam ikan. Dari kecil sampailah besar berganda saiznya.
Ia tak perlu cahaya matahari yang banyak pun, tetapi pH air tu mestilah di antara 6.5 hingga 7.2 ya.
6. Bunga Tetepok (Water Snowflake/Floating Heart )
Selain pokok apu-apu, pokok bunga tetepok pun orang letak juga dalam kolam. Yang menariknya, bunga ini bentuknya seperti snowflakes, memang cantik menghiasi kolam rumah Mama nanti!
7. Bunga Kertas (Bougainvillea)
Ini memang merupakan antara pokok hiasan luar rumah pilihan rakyat Malaysia kan? Terutamanya di kampung, pokok bunga kertas lah yang menghiasi halaman rumah.
Bermacam-macam warna pula tu.
8. Bunga Siantan (Ixora)
Kanak-kanak selalu bermain dengan bunga pokok ni. Yelah.. kalau disambung-sambung, boleh buat rantai dan gelang dari bunganya.
Pokok bunga siantan ni pun ada bermacam warna seperti merah, kuning dan putih.
9. Bunga Raya (Hibiscus)
Terasa bangga jika ada pokok bunga raya sebagai bunga kebangsaan ini di halaman rumah. Kalau pacak bendera Malaysia berdekatan, lagi berkibar rasa semangat patriotik.
Biasanya orang tanam yang warna merah. Tapi warna lain seperti warna merah jambu dan putih pun tak kurang cantiknya!
10. Bunga Allamanda Kuning
Selalu nampak pokok bunga kuning ini ditanam di kampung, ini rupanya namanya. Pokok ni senang je tanam, asalkan cukup cahaya matahari dan air.
Kadang-kadang tu, cantaslah sikit-sikit untuk galakkan tumbesarannya. Hati-hati dengan getahnya ya?
11. Kaktus
Antara pokok yang bukan high-maintenance ialah, pokok kaktus. Yelah.. siram air pun kadang-kadang je, bukannya hari-hari. Lepas tu kalau kena cahaya matahari berterusan pun tak apa.
Sekarang ni banyak je pokok kaktus yang cantik-cantik. Pilih je baka yang macam mana Mama suka.
12. Daun Semun
Juga dikenali sebagai pokok paku langsuir, pokok daun semun atau bird’s nest fern ni pun sering menjadi pilihan pemilik rumah untuk menghiasi halamannya.
Bila semakin besar, semakin berkembanglah daunnya. Macam bunga besar yang mekar gitu.
13. Curly Lipstick Plant
Unik kan nama pokok ni? Rupanya pun bukanlah seperti pokok-pokok kita selalu tengok. Menurut Fiza, ia dinamakan sedemikian kerana kudup bunganya yang berkembang macam lipstick membentuk silinder panjang.
Cantik dan unik kan?
14. Acalypha Hispida
Pokok ini lebih dikenali sebagai pokok ekor kucing kerana bunganya berbulu seperti ekor kucing. Menimbulkan kontra kan di antara tumbuhan-tumbuhan hijau?
15. String of Nickels
Buat Mama yang sukakan pokok gantung, pokok string of nickels ni cantik sangat jika digantung menghiasi halaman rumah Mama.
Nak gantung di balkoni ke, di pagar rumah ke, pandai-pandai lah ya?
16. String Of Pearls
Pokok string of pearls pun sama cantik dengan pokok string of nickels. Kalau tanam di dalam pasu sangkut, berjurai turun ke bawah macam butiran mutiara.
17. Pokok Periuk Kera
Pokok periuk kera pun terkenal sebagai pokok gantung yang menarik. Uniknya pokok ini, ia memakan serangga halus yang mendekatinya.
Jika halaman rumah Mama banyak serangga dan lalat buah, bolehlah cuba tanam pokok ini ya?
18. Pokok Paku Boston
Pokok ini dipercayai dapat meningkatkan kualiti udara. Macam pokok paku pakis kan, tapi lebih cantik!
19. Pokok Keladi
Merupakan antara sensasi terkini, datang dengan pelbagai bentuk dan rupa, pokok keladi telah mengambil tempat di banyak hati rakyat Malaysia.
Tak dinafikan, memang cantik-cantik pokok keladi ni.
20. Pokok Ati-ati
Tidak dilupakan juga, pokok ati-ati pun antara pokok hiasan luar rumah yang diminati ramai. Untung tanam pokok ini ya. Ia akan beranak-pinak dengan banyaknya.
Antara tarikannya ialah warna daunnya yang pelbagai. Cara penjagaannya pun tak susah.
Tips Menjaga Pokok Hiasan Luar Rumah
Kadang-kadang bila tengok orang tu, senang je dia tanam dan jaga pokoknya. Macam mana lah boleh hidup dan subur macam tu.
Sebenarnya, dengan ilmu yang betul, Mama pun boleh tanam dan hias kawasan di luar rumah Mama tau:
1. Air yang cukup
Pastikan Mama siram pokok dengan kadar dan jumlah air yang sesuai ya. Tak kurang dan tak lebih.
2. Cahaya matahari pada kadar yang sesuai
Pastikan Mama dedahkan pokok Mama kepada cahaya matahari pada kadar yang bersesuaian. Ada pokok yang perlukan cahaya matahari sedikit je, ada yang perlu banyak, ada juga yang perlu lama berpanjangan.
Bolehlah susun atur pasu dan pokok di tempat yang sesuai di luar rumah ya.
3. Baja yang sesuai
Kalau pokok bunga, gunakanlah baja bunga untuk membantu tumbesaran pokok Mama.
4. Saiz pasu yang betul
Walaupun pokok hiasan Mama masih kecil lagi, tidaklah bermaksud Mama perlu gunakan pasu yang kecil. Ada sesetengah pokok, akarnya berserabut dan banyak. Jadi ia memakan lebih ruang untuk membesar.
Pastikan saiz pasu sesuai dengan jenis dan umur pokok supaya tumbesarannya tidak terbantut.
5. Trim pokok dan bersihkan ruang di tanahnya
Ada sesetengah pokok, makin dicantas, makin meriah ia bertunas dan bercabang. Ada juga jika tidak dibuang daunnya yang kering dan rosak, bahagian lain pokok akan terjejas sama.
Oleh itu, sentiasalah buang bahagian-bahagian pokok yang rosak dan cabut rumput atau sebarang tumbuhan yang tumbuh di kawasan sekitar tanahnya supaya zat dan kelembapan dari tanah tidak diserap oleh tumbuhan lain.
Pokok Hiasan Luar Rumah Untuk Halaman Mama
Banyak je pilihan pokok hiasan luar rumah untuk ditanam di halaman Mama. Pilih je yang mana sesuai dan berkenan, nanti boleh dapatkan panduan tentang cara penjagaannya dari penjual pokok ya?
Kalau Mama nak tanam pokok di dalam rumah pun banyak je, bolehlah hias ruang dalaman rumah nanti. Tentu cantik dengan tumbuhan-tumbuhan ini.