Semasa berpantang, ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari para penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran badan ibu sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut dapat membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual. Makanan berkhasiat untuk yang berpantang Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun.
Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Perkara yang nyata mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.
Jom Buat Sendiri Jamu!
BAHAN-BAHAN:
- 2 cawan air
- 4 ulas kunyit (dipotong kecil lebih kurang 2 inci)
- 1 ulas halia (saiz 2 inci)
- 1 biji buah manjakani
- 1 sudu besar pes asam jawa
- 1 sudu besar gula merah
Atau
Jika anda tak nak masukkan halia, dan buah manjakani pun boleh. Terpulang masing-masing. Khas untuk ibu dalam pantang.
CARA MENYEDIAKAN JAMU AIR KUNYIT:
- Tumbuk kunyit dan biji manjakani. Halia dihiris nipis.
- Kemudian direbus bersama air dan biarkan mendidih.
- Apabila mendidih, masukkan air asam jawa dan didihkan lagi.
- Masukkan gula merah dan biarkan air mengering sedikit. Tutup api dan sejukkan.
- Tapis air jamu apabila sudah sejuk dan simpan dalam peti ais.
CARA MINUM:
2-3 sudu makan air jamu ini dicampurkan dengan 1/2 cawan air suam. Boleh diminum tiga kali seminggu.
CARA SIMPAN:
Simpankan dalam peti ais tetapi bukan untuk tempoh lama. Pati ini biasanya bertahan lebih kurang seminggu.
SYARAT MINUM:
- Jamu ini sangat sesuai buat ibu baru bersalin, tetapi jika mahu diamalkan tunggu sehingga anak anda sembuh dari jaundis.
- Boleh diminum secara konsisten oleh semua wanita untuk kesihatan dalaman dan memberi tenaga.
- Jika anak dara, jangan tambahkan kunyit dan biji manjakani dalam pati jamu anda kerana dikhuatiri akan mengganggu sistem peranakan.
KEBAIKAN JAMU AIR KUNYIT
*Merawat luka dalaman kerana bersalin
*Membuang angin dalam badan
*Mengetatkan organ wanita
*Mengempiskan perut
Mudah bukan? Selain kebaikan air jamu di atas, jamu ini juga dapat mengembalikan kesegaran dan tenaga badan buat ibu berpantang. Mungkin rasanya bukanlah ‘taste’ anda, tetapi tak salah untuk mencuba bukan? Untuk kesihatan dalaman diri kita juga.
Selamat mencuba!