Tidak dinafikan lagi peranan para ibu dalam institusi kekeluargaan sangat penting. Bahkan impak penglibatan mereka lebih besar berbanding golongan bapa.
Kita selalu mendengar kata-kata seperti ‘happy mother, happy home’ yang menggambarkan fungsi mereka dalam memastikan keharmonian semua ahli keluarga.
Hasil kajian dari Marriage Foundation dan University Of Lincoln di United Kingdom jelas menunjukkan bahawa kebahagiaan dan kesihatan Mama mempengaruhi anak dalam dua perkara iaitu kesihatan mental dan keakrabannya dengan mereka pada usia remaja nanti.
Oleh itu, pada kali ini, Mama Siti ingin kongsikan tentang sumber kebahagian Mama yang bekerjaya iaitu kesihatan. Peta minda dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempamerkan bahawa kesihatan yang ideal merangkumi aspek biopsikososial seperti gambar di bawah.
Tips Untuk Kesihatan Mama Agar Kekal Bertenaga
#1 Senaman Ringkas Setiap Hari
Di zaman yang serba-serbi pantas ini, kita juga harus bijak mencari masa melakukan senaman ringkas setiap hari. Lagi-lagi bagi yang perlu melalui perjalanan jauh ke tempat kerja, mesti sesampainya di pejabat sudah merasakan kepenatan dek kerana kesesakan lalu lintas.
Ini adalah perkara biasa terutamanya yang tinggal di bandar besar. Situasi seperti ini sudah menjadi sebagian dari rutin. Senaman yang Mama Siti kongsikan ini tidak memerlukan Mama untuk menukar pakaian sukan atau berada di tempat tertentu. Cukup sekadar duduk dan berdiri di meja peribadi dan Mama sudah boleh mula bersenam.
Terdapat enam (6) pergerakkan yang Mama harus atau sering lakukan tanpa Mama sedar, iaitu:
- Turun naik tangga – jika sampai di tempat kerja lebih awal, baiklah jika kita menggunakan tangga. Aktiviti ini dapat membakar sehingga 15 kalori untuk bagi setiap satu tingkat tangga. Kalori yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti sembelit dan gout. Jadi, adalah lebih baik untuk Mama menggunakan tangga berbanding lif.
2. Berdiri ketika menyiapkan pekerjaan – bagi Mama yang mempunyai kemudahan meja boleh laras di tempat kerja, ubahlah kedudukan meja dari masa ke masa. Selain mengelakkan kebosanan, berdiri selama 30 minit sebenarnya membakar 72 kalori.
3. Chair Squats
4. Leg extension
5. Oblique bends
6. Knee pull-in
#2 Buat Perancangan Harian
Dengan kemudahan teknologi, kita tidak lagi bermasalah untuk membuat peringatan tentang aktiviti yang perlu dilakukan setiap hari. Namun, masih ramai yang bingung bagaimana untuk membahagikan pekerjaan dengan lebih praktikal.
Mama boleh mulakan dengan membuat senarai perkara yang Mama perlu selesaikan pada hari atau minggu tersebut. Lalu, bahagikan kepada kerja atau perjara yang perlukan perhatian awal dan intensif.
Mama juga boleh cuba untuk ikuti teknik dari negara Jepun yang lebih dikenali sebagai Kanban ini:
Dari sini Mama dapat menilai sama ada anda mampu atau tidak menyiapkan semua tugasan tadi sendirian. Jika tidak, jangan berlengah untuk meminta bantuan dari orang lain.
Agihkan tugasan kepada individu yang sepatutnya. Sebagai contoh, minta bantuan daripada rakan atau pembantu Mama di pejabat manakala ketika di rumah, cuba berbincang dengan suami atau keluarga yang sudi membantu.
#3 Dapatkan Sumber Nutrisi Yang Mencukupi
Aspek pemakanan juga perlu diambil perhatian. Segala makanan dan minuman adalah sumber tenaga bagi manusia. Namun, yang manakah benar-benar diperlukan dan memberi tenaga kepada wanita? Senang je Mama. Mama ingat lagi lagu tema Horlicks?
Ho-Ho-Ho. Vitamin B6 daripada 48 pisang..
Ho-Ho-Ho. Kalsium daripada 55 cawan susu..
Ho-Ho-Ho. Zat besi daripada…3…kilo…bayam!!!
Jawapan untuk semua persoalan kita sebenarnya ada dalam lagu diatas. Yang pertama adalah pisang. Dengan kandungan vitamin B6, ia mampu meningkatkan metabolisme badan selain pantas memecahkan protein agar mudah diserap oleh badan.
Bahasa ringkasnya, pisang memberikan tenaga segera kerana kadar penghadaman yang pantas. Pisang juga mempu buatkan kita lebih gembira.
Yang kedua adalah dengan banyakkan minum susu. Hari ini kita mempunyai banyak pilihan seperti susu soya, susu kambing, susu lembu dan juga susu kacang badam (almond milk). Wanita akan kehilangan kepadatan tulang apabila usia mereka menginjak 35 tahun. Kesan daripada proses ini mengakibatkan badan kehilangan sumber kalsium.
Sebagai alternatif, kita perlukan sumber kalsium dari luar dengan mengamalkan pengambilan susu. Cukup ambil tiga hingga empat gelas susu sehari untuk menampung keperluan kalsium dalam badan.
“Mama Siti, saya tak makan bayam, ada pilihan lain tak?”
Ada, mestilah ada. Mama boleh pilih brokoli, kentang, tauhu atau tempe dalam diet harian. Pelbagaikan menu hidangan agar tidak bosan. Malah, zat besi membantu dalam penyerapan oksigen dalam badan. Kekurangan nutrisi ini mengakibatkan Mama cepat letih dan tidak bermaya.
#4 Rehat, Rehat dan Rehat!
Menjalani hidup di era ini sangatlah mencabar. Kita perlu membahagikan masa untuk bekerja, menjaga keluarga dan memikul tanggungjawab lainya. Namun itu bukanlah alasan untuk wanita mengabaikan diri sendiri.
Mama ada cara untuk ‘curi’ masa demi mendapatkan waktu rehat yang berkesan. Rehat disini tidak semestinya tidur. Rehat adalah aktiviti yang Mama lakukan selain dari rutin harian dan apa sahaja yang membahagiakan Mama seperti pergi membeli-belah, keluar bersama rakan-rakan, melakukan homemade facial di rumah, dan sebagainya.
Menurut laman sesawang Direction Psychology, me time adalah keadaan seseorang meluangkan masa hanya untuk dirinya sendiri. Menjadi ibu bekerjaya mahupun surirumah membuatkan Mama rasa selalu tak ada masa untuk diri sendiri. Ada pula yang beranggapan bahawa sesi ini mementingkan diri kerana hanya fokus pada diri sendiri.
Tapi? Tahukah Mama bahawa memanjakan diri sendiri memberi kelebihan terutamanya kepada kesihatan mental dan emosi.
- Merehatkan otak, menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.
- Meningkatkan tumpuan, produktiviti dan kreativiti.
- Memahami dan mengenali diri dengan lebih mendalam.
- Meningkatkan kemampuan bersosial.
- Kualiti hubungan sesama manusia semakin baik.
Mama Siti, apa aktiviti untuk ‘me time’ ni ? Baik, selain daripada berjalan santai di luar, Mama juga boleh menyertai kumpulan sosial seperti yang gemar melakukan aktiviti hiking, bercuti, sukarelawan, dan banyak lagi. Mama boleh ikut sekali dan dalam masa yang sama, menambah kenalan lain.
Percayalah, Mama pasti akan rasai perbezaannya selepas pulang dari aktiviti me time ini. Sekali sekala, tak salah untuk kita raikan diri sendiri!
#5 Minum Air Yang Mencukupi
Tip yang terakhir ni memang keperluan asas semua orang, tidak kira lelaki mahupun wanita. Seseorang yang kekurangan kandungan air dalam badan akan mengalami dehidrasi. Ini adalah keadaan apabila jumlah air yang meninggalkan badan lebih banyak berbanding yang diperolehi.
Ditambah dengan cuaca di Malaysia yang kadangkala mencecah 40°C, memerlukan kita peka dengan pengambilan air minum. Disini, Mama Siti sarankan untuk Mama sentiasa minum air putih dan kurangkan air bergula kerana ianya lebih baik untuk badan.
Mama boleh gunakan botol air yang mempunyai kata-kata motivasi atau masa untuk memudahkan Mama keep track jumlah air yang Mama sudah minum bagi setiap jam. Sedikit sebanyak ianya membantu untuk ingatkan kita untuk selalu minum air.
Jangan tak tahu, minum air pun menjadikan kulit semakin sihat. Bagaimana? Air mempunyai nutrien yang mampu menyingkirkan toksin dalam badan. Sel yang lebih sihat akan terhasil dan mendorong pertumbuhan kulit dan rambut yang lebih baik.
Sebagai kesimpulan, sekarang Mama semua dah tahu betapa pentingnya kesihatan kita sebagai seorang Mama dan perlu untuk kita menjaga diri sendiri walaupun sibuk menjaga anak-anak dan ahli keluarga. Tak salah untuk siapkan diri sendiri terlebih dahulu kerana dengan itu, barulah kita dapat menjaga yang lain bukan?