Apabila berumah tangga, suami dan isteri mempunyai tanggungjawab dan hak masing-masing yang harus dilaksanakan dan dipenuhi sewajarnya.
Meskipun tanggungjawab seorang isteri itu berat, tanggungjawab si suami tidaklah ringan malahan lebih lagi kerana posisinya sebagai ketua keluarga Islam.
Maksud Nafkah Isteri
Menurut Robiatul Adawiyah Mohd, nafkah adalah mengeluarkan perbelanjaan atau sara hidup untuk individu-individu yang diwajibkan ke atas seseorang itu untuk dibiayainya. Ia termasuk untuk segala hajat dan kebutuhan.
Nafkah yang diwajibkan untuk seorang isteri itu adalah terbahagi kepada dua; nafkah zahir dan nafkah batin.
Nafkah Zahir Untuk Isteri
Terdapat beberapa nafkah zahir untuk isteri yang mesti disediakan oleh suami. Antaranya adalah:
1. Makanan dan minuman
Adalah merupakan tanggungjawab seorang suami untuk memberi makan dan minum kepada isterinya. Mungkin ada yang salah faham bahawa ini merupakan tanggungjawab seorang isteri kerana lumrah dalam masyarakat dan budaya kita, tugas memasak itu kebanyakannya dilakukan oleh isteri.
Sebenarnya menurut hukum syarak, tanggungjawab menyediakan makan dan minum itu terletak di bahu seorang suami. Sama ada makanan itu dimasak atau dibeli, asalkan ia bersih dan halal, itu sudah cukup.
Tetapi dalam hidup berumah tangga, suami dan isteri haruslah sentiasa bertolak ansur. Jika si suami sudah berkerja, apa salahnya jika si isteri yang berada di rumah menjaga anak dan memasak.
Kalau dalam situasi suami menyuruh si isteri memasak pula, maka itu mestilah dipatuhi kerana seorang isteri mestilah taat kepada suaminya selagi suruhannya tidak melanggar hukum syarak.
Menurut Imam Syafie, kadar nafkah makanan yang mesti diberikan adalah bersandarkan pada kemampuan suami. Untuk suami yang berharta, kadarnya adalah dua cupak makanan setiap hari yang mesti diberikan kepada isteri. Untuk suami yang sederhana, satu setengah cupak dan untuk yang miskin, satu cupak makanan.
2. Tempat tinggal
Selain itu, seorang isteri juga mempunyai hak untuk mendapat perlindungan di tempat yang selesa dan selamat. Bergantung kepada kemampuan si suami, adalah wajib untuknya menyediakan rumah yang isterinya merasa selamat dan nyaman hatinya untuk tinggal di situ.
Sama ada dibeli atau disewa, ia tidak harus dikongsi dengan sesiapa pun walaupun ibu bapa supaya suami dan isteri boleh mengurus rumah dengan cara tersendiri dan tanpa perlu risau tentang soal aurat dan sebagainya.
Tempat tinggal ini sepatutnya cukup untuk memberi keselesaan dan keselamatan, tidak semestinya mewah dan membebankan ya.
3. Pakaian
Isteri juga berhak mendapatkan persalinan untuknya dari suami. Para suami mestilah menyediakan pakaian yang selesa dan menutup aurat isteri. Ini merangkumi dari kepala hinggalah kaki.
4. Pembantu
Bukan itu sahaja, jika sebelum berkahwin si isteri sudah terbiasa mendapat khidmat pembantu dalam urusan harian dan kehidupannya, suami hendaklah menyediakan pembantu untuknya selepas berkahwin.
Menurut Imam Nawawi, ini adalah wajib ke atas seorang suami itu jika sedemikian halnya.
5. Alat pembersihan diri
Barang-barang kelengkapan isteri seperti sabun mandi, sikat rambut dan syampu juga mesti disediakan oleh suami.
6. Perkakas rumah
Tidak dilupakan juga, perkakas rumah seperti perkakas bilik tidur dan dapur. Suami haruslah berusaha untuk menyediakan kelengkapan yang sewajarnya untuk kegunaan isteri dan keluarga.
7. Bahan-bahan dapur
Bahan mentah dan bahan memasak seperti rempah-ratus dan lauk-pauk juga merupakan keperluan yang suami mesti penuhi.
Nilailah berdasarkan keperluan dan kemampuan ya.
Nafkah Batin Untuk Isteri
Selain daripada nafkah zahir yang dinyatakan di atas, seorang suami itu wajib untuk menunaikan nafkah batin isterinya. Sebagai contoh:
1. Hubungan kelamin
Dalam perhubungan suami isteri, isteri itu mestilah diperlakukan dan digauli dengan elok, berlandaskan kaedah yang dibenarkan dalam agama. Seperti perintah dari Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 223:
Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercocok tanam, maka datangilah tanah tempat bercocok-tanammu itu bagaimana saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu, dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa kamu kelak akan menemui-Nya. Dan berilah kabar gembira orang-orang yang beriman.
2. Didikan agama
Selain itu, adalah tanggungjawab para suami untuk mendidik isterinya. Dengan berpandukan Al-Quran dan hadith, isteri mestilah dididik agama dan akhlaknya.
Lengkapkanlah isteri dengan ajaran agama yang kukuh dan bentuklah akhlak mereka dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.
3. Layanan yang elok
Menjaga perasaan dan hati isteri juga termasuk dalam nafkah isteri yang suami wajib penuhi. Para suami dituntut untuk menyantuni isteri sebaik dan semampu mungkin. Bersesuaian dengan hadith Rasululllah S.A.W.:
Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya.
Hadith riwayat Ibn Majah, 9:2053
Sentiasalah mendengar luahan hati isteri dan peka dengan perasaan dan kecenderungannya. Dalam kesibukan berkerja, para suami harus berusaha mencari masa untuk bermesra dengan isteri dan menghiburkan hatinya.
Beza Nafkah Isteri Dan Belanja Rumah Tangga
Ramai yang salah faham dan keliru tentang pemberian nafkah untuk isteri dan perbelanjaan rumah tangga. Sesetengah menyangkakan, apabila diberi wang kepada isteri untuk membeli keperluan dapur dan rumah, itu adalah duit nafkah untuk isteri.
Yang sebenarnya, wang nafkah untuk isteri hanyalah khusus untuk keperluannya. Apa-apa sahaja yang diperlukan, terutama buat isteri yang tidak berkerja, bolehlah mereka memenuhi keperluan itu dengan wang nafkah yang diberikan oleh para suami.
Tetapi harus diingatkan juga, meskipun mereka berkerja dan mempunyai pendapatan sendiri, ini tidak mengecualikan para suami untuk tidak memberi nafkah.
Sesuai dengan kemampuan anda, para suami hendaklah memenuhi hak isterinya sewajarnya. Sesungguhnya, Allah S.W.T. tidak pernah membebani hambanya melebihi kemampuannya:
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.
Surah Al-Talaq: 7
Kejarlah Rahmat Allah S.W.T. Dengan Memenuhi Hak-Hak Hambanya
Segala usaha para suami dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan memenuhi hak isteri sentiasa dipandang Allah. Untuk mendapatkan rumah tangga yang penuh dengan sakinah, rahmat dan mawaddah, pasangan suami isteri haruslah sentiasa berusaha untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaiknya dengan cara yang diredhai Allah.
InsyaAllah..