Kadangkala kesian rasa bila nampak ibu mengandung bersendirian ke klinik membuat pemeriksaan bulanan. Bukan itu saja, jika di pasaraya kadangkala pasti ada kelibat wanita yang membeli barang dapur bersama anak-anak kecil menemani. Begitu juga setiap pagi ditaska atau tadika, kebanyakkan yang menghantar anak-anak ke pusat asuhan itu pasti si ibu. Hebat ibu-ibu hari ini, berdikari dalam segala hal sendirian. Dari urusan anak hingga ke rumahtangga, percayalah segalanya mereka boleh lakukan tanpa bantuan si ayah atau suami.
Persoalannya, patutkah ibu terlalu berdikari? Alasan mungkin untuk membantu yang terdaya meringankan tugas suami atau suami ada urusan lain yang perlu dilakukan. Isteri yang sudah terbiasa berdikari tak perlukan pertolongan suami, memang isteri yang hebat. Tetapi jangan lupa, akan tiba masanya isteri yang terlalu ‘ghairah’ menguruskan keluarga sendirian boleh menjejaskan kemesraan bersama suami. Rasa tidak dipedulikan pasangan bukan hanya menimpa suami saja, isteri pun bakal rasa yang sama.
Jangan terkejut jika isteri yang terbiasa berdikari sudah hilang rasa hormat kepada suami. Alasan dia boleh melakukan sendirian jika tiada bantuan daripada suami sekali pun. Kalau dulu isteri sempat memotongkan kuku suami sekarang nak salam dan cium tangan pun tak sempat lagi. Dulu setianya dia mengurut kaki suami yang letih, sekarang pula dia terlalu letih dengan kerenah anak. Isteri berubah kasar, tak halus lagi kata-katanya seperti dulu. Anak, kerjaya dan tanggungjawab di luar rumah merubah perangai isteri sedikit demi sedikit akibat terlalu berdikari. Dia cepat marah, cepat merajuk dan kecil hati, suka menyalahkan suami akhirnya sibuk dengan stres membuatnya hilang fokus pada pasangan. Sifat-sifat manja isteri semakin terhakis, suasana hangat dan romantik pun jarang-jarang hadir.
Ada baik buruk jika ibu pandai berdikari. Positifnya jika terjadi sesuatu kepada suami dan hilang tempat bergantung, ibu yang sudah pandai berdikari mungkin tidak akan ‘terduduk’ bahkan pasti boleh ‘bangkit’ sendiri.
Untuk Suami:
- Jangan biarkan terlalu banyak perkara dilakukan sendiri oleh isteri.
- Layani isteri dengan memanjakan isteri, dan sentiasa berada menemaninya, agar suami terbiasa diperlukan olehnya.
- Terlalu banyak membiarkan isteri membuat keputusan atau berfikir sendiri menyelesaikan masalah yang dihadapi menyebabkan lama-kelamaan terbiasa dengan berdikari, dan tidak lagi memerlukan pasangannya sebagai suami.
- Banyakkan masa mendengar luahan dan cerita isteri meskipun kadang kala tidak menghasilkan apa-apa penyelesaian.
- Jangan terlalu banyak meninggalkan isteri bersendirian di rumah.
- Jangan terlalu sibuk dengan urusan kerja, komuniti dan lain-lain tanpa mengambil kira masa bersama isteri.
Untuk Isteri:
- Jangan biarkan terlalu banyak perkara dilakukan sendiri oleh anda walaupun anda memang boleh lakukan. Ingatkan suami anda tanggungjawab dan tugas mereka sebenar.
- Berbincanglah sebaik mungkin dengan suami. Jangan berleter atau naik suara ketika berkomunikasi. Jika tidak puas hati berterus-terang dengan hemah.
- Hargai diri sendiri. Beli apa sahaja untuk diri sendiri tanpa rasa bersalah untuk reward diri! Tapi berpada-padalah.
- Minta bantuan keluarga yang lebih berpengalaman atau kaunselor perkahwinan untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi.