Semuanya bermula dengan fitrah seorang ibu yang hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya. Begitu juga buat pelakon dan selebriti, Elfira Loy, 27, yang telah membuat keputusan untuk menghantar anaknya Muhammad Rayyan yang kini berusia 2 tahun ke playschool. Ini adalah kerana Elfira mahu tingkatkan penguasaan kemahiaran motor dan sosial anak sulungnya itu.
Menurut laporan daripada Kosmo, Elfira memberitahu kehendak ibu bapa adalah berbeza dan setiap ibu bapa berhak untuk memilih apa sahaja kebaikan buat anak-anak mereka sendiri. Tambahan pula, melalui post Instastory-nya, Elfira juga mempertahankan keputusannya untuk menghantar Rayyan ke sekolah.
Elfira mengatakan “Kalau anda tidak bersedia untuk menghantar anak-anak anda (ke sekolah), tidak mengapa. Anda boleh sentiasa buat aktiviti bersama anak-anak di rumah. Kalau anda tahu bagaimana dan mempunyai masa untuk melakukan aktiviti tersebut”.
Kemudian dia menyuarakan perasaaan dia yang berasa sedikit terganggu apabila ada pihak yang mempersoalkan tindakannya menghantar anak ke playschool kerana anaknya yang masih kecil.
“As much as I want to ignore these kind of messages, i still rasa terganggu jugak & kena explain kepada stigma setengah parents yang ‘apallah hantar anak-anak awal kat sekolah tak kesian ke.’”
ujar Elfira.
Kebaikan Playschool
Terdapat beberapa kajian yang mengalakkan untuk menghantar anak pada usia yang muda ke sekolah kerana terdapat banyak manfaat.
“Menghantar anak-anak kecil ke taman asuhan (playschool) akan membantu mereka untuk membangunkan kemahiran ‘motor’ aktiviti yang melibatkan pergerakan otot dalam badan”.
Tambah Elfira, “Mereka juga dapat membangunkan kemahiran sosial dan harian. Memang ada kajian menunjukkan perbezaan antara kanak-kanak yang aktif bermain dengan yang kurang melakukan aktiviti yang merangsang kemahiran motor,”
Elfira Loy mendirikan rumah tangga dengan Muhamad Faris Khairol Anuar pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata pertama lelaki bernama Muhamad Rayyan Khalaf pada 1 Oktober tahun yang sama.
5 Manfaat Menghantar Anak Ke Sekolah Pada Usia Awal
1. Membina tabiat yang baik
Mama harus tahu bahawa anak-anak amat gemar dengan rutin harian. Ia juga membantu anak Mama menjalani rutin yang baik. Pendidik ataupun guru-guru mengetahui kemahiran yang anak Mama perlukan untuk membangunkan dan menggunakan pelbagai teknik untuk membantu mereka mengembangkan kemahiran ini dalam persekitaran yang selamat.
Bukan sahaja menyediakan anak Mama ke sekolah, tetapi menjadikan kehidupan keluarga lebih mudah.
2. Kemahiran literasi dan numerasi
Penyelidik menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengikuti asuhan kanak-kanak selama tiga tahun atau lebih menunjukkan prestasi yang lebih baik pada ujian literasi dan numerasi, manakala 18 bulan prasekolah mempunyai kesan yang lebih besar pada tahap literasi dan numerasi pada umur 11 tahun, berbanding dengan pelajar enam tahun di sekolah.
3. Membina daya tahan emosi
Menghantar anak pada usia yang awal memberi peluang kepada anak Mama untuk mengembangkan kemahiran bersosial, membantu mereka membentuk hubungan yang baik dengan orang lain.
Ia juga akan membantu mereka belajar cara bergaul dengan rakan seumur, mengajar untuk berkongsi dan bergilir-gilir, mendengar kata orang lain, menyampaikan idea mereka dan menjadi lebih berdikari. Ia dapat mengembangkan daya tahan emosi anak Mama.
4. Masa depan yang lebih cerah
Kemahiran yang anak Mama pelajari pada tahun-tahun awal kehidupan mereka adalah penting untuk prestasi sosial, emosi dan akademik mereka.
Kajian juga mendedahkan bahawa kanak-kanak yang tidak ke taska atau mendapat pendidikan awal kanak-kanak, 50% berkemungkinan akan memulakan sekolah dengan tahap yang lebih lemah dari segi perkembangan mereka.
5. Memupuk minat belajar sepanjang hayat
Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti tinggi di pusat jagaan kanak-kanak bukan sahaja akan menjaga anak Mama dengan selamat semasa Mama bekerja, tetapi juga memberi inspirasi kepada minat belajar sepanjang hayat.
Akses kepada pendidikan awal kanak-kanak boleh memberikan mereka pengalaman sosial dan kognitif yang membantu mereka berdikari dan membangunkan sikap positif terhadap pembelajaran. Kemahiran ini membantu anak Mama memasuki sekolah rendah dan terus maju dalam akademik mereka.
Pada Mama Siti, pendidikan awal dari segi pelbagai aspek sangat penting untuk anak-anak – tak kisah bermula di mana sahaja. Dan, tak juga salah jika ada ibu bapa ingin menghantar anak mereka ke preschool, playschool atau taska pada usia yang lebih awal, selagi tidak membebankan anak-anak itu sendiri.