Hamil di usia lewat 30-an memberikan risiko berbanding hamil di usia lebih muda. Kebanyakan wanita yang hamil di usia lewat berhadapan dengan masalah seperti cepat penat dan keletihan yang luar biasa. Tidak dinafikan ada di antara mereka terpaksa melalui fasa kehamilan yang cukup perit. Masalah kencing manis dan tekanan darah tinggi antara yang dialami mereka. Malah ada juga yang perlu melahirkan bayi lebih awal bagi menyelamatkan anak yang dikandung. .
Bagi ibu yang hamil pada usia lewat, antara risiko yang mungkin dihadapi ialah:
- Risiko keguguran.
- Komplikasi seperti darah tinggi dan kencing manis.
- Kecacatan selepas kelahiran seperti sindrom down.
- Kesukaran sewaktu bersalin.
- Pendarahan yang banyak selepas bersalin.
- Meningkatkan risiko bayi mati di dalam kandungan.
- Risiko bayi lahir awal (pramatang) dan lahir kurang berat badan.
Pemakanan memainkan peranan penting sewaktu hamil bagi memastikan si ibu kekal sihat dan aktif sepanjang tempoh kehamilan hingga melahirkan. Makanan berkhasiat tidak hanya baik untuk ibu malah bermanfaat untuk bayi yang dikandung. Antara kepentingan makanan berkhasiat ialah:
- Memastikan perkembangan janin sihat.
- Mengekalkan kesihatan ibu.
- Memenuhi keperluan nutrien dan memastikan penambahan berat badan yang bersesuaian sepanjang tempoh hamil.
- Jika kurang berat badan, si ibu perlu menambah berat di antara 12kg ke 18kg.
- Jika berat badan normal, hanya perlu menambah 11kg ke 16kg sahaja.
- Bagi si ibu yang mempunyai berat badan berlebihan, hanya perlu menambah 7kg ke 11kg.
- Jika hamil kembar, si ibu perlu menambah berat lebih kurang 16kg ke 20kg.