Tabiat setiap anak kecil berbeza antara satu sama lain, namun sepanjang tempoh tumbesaran mereka memerlukan keperluan asas yang sama. Kasih sayang dan perhatian secukupnya kepada mereka pada peringkat awal tumbesaran adalah penting bagi menyokong mereka mencapai potensi penuh dalam kehidupan. Antara keperluan paling penting bagi anak kecil ialah aktu tidur mereka yang mencukupi. Kajian telah menunjukkan bahawa tidur yang mencukupi sedikit sebanyak mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan fizikal, perasaan, serta tingkah laku anak-anak.
Namun, tak senang untuk Mama atau Papa mewujudkan corak waktu tidur si kecil dengan betul dan sihat. Ia merupakan satu cabaran hebat buat kebanyakan ibu bapa zaman sekarang. Mama dan Papa merupakan tulang belakang yang harus menyokong emosi anak-anak dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk mereka tidur. Jika boleh, sentiasa pantau waktu tidur anak-anak. Elakkan menggangu waktu tidur mereka dengan keluar membeli-belah, atau makan malam ketika waktu sudah lewat.
Tips Tetapkan Waktu Tidur Untuk Si Kecil
- Meluangkan masa selama 10 minit sehari sebagai masa istimewa bersama anak mungkin kelihatan tidak penting, tetapi sebenarnya boleh memberikan kesan mendalam kepada bagaimana mereka tidur.
- Ikatan bersama ibu bapa dan tidur, bergerak seiring dalam mempengaruhi tumbesaran kanak-kanak. Selain itu, kebanyakan perkara yang berlaku pada siang hari memberi kesan kepada kualiti tidur malam anak.
- Pendekatan holistik perlu diamalkan oleh ibu bapa dalam usaha mewujudkan ikatan kuat dengan anak-anak melalui bermain bersama, memupuk sifat kebergantungan terhadap ibu bapa dan perasaan selamat anak. Dengan cara begini secara tidak langsung dapat melegakan tekanan yang dihadapi anak-anak sepanjang hari dengan diceriakan kembali oleh ibu bapa.
- Ibu bapa harus mempunyai jadual tidur untuk anak masing-masing. Ini penting supaya waktu tidur anak menjadi lebih teratur, malah ibu bapa juga boleh mengandaikan bila masa anak akan tidur.
- Jadilah pendengar yang setia selain menemani anak-anak ketika diperlukan terutama ketika mereka menangis. Jangan biarkan mereka menangis keseorangan kerana menangis merupakan salah satu cara anak-anak melepaskan tekanan dan apa juga perasaan yang dirasakan ketika itu.
- Kaedah memujuk juga membantu bayi tidur nyenyak tetapi harus dilakukan dengan penuh kasih sayang bukannya secara kasar seperti marah atau mengherdik mereka.
- Segala barangan kesayangan seperti bantal busuk atau puting seharusnya dibuang jauh sewaktu mereka hendak tidur. Selain akan menjadi tabiat sehingga besar, tanpa kesemua barangan kesayangan mereka ini juga tidak akan tidur dengan nyenyak.
- Biarkan anak-anak tidur dengan sendirinya kerana selama ini sebenarnya anak-anak tidur dalam paksaan, sebagai contoh, ibu atau bapa mendodoikan mereka untuk tidur.