Baru-baru ini, seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat telah ditemui ditepi jalan di Sik, Kedah. Seorang remaja tidak menyangka rutin harian menghantar ibunya berubah, apabila menemui bayi tersebut. Bayi malang itu ditemui dalam keadaan dihurungi semut ketika mereka melalui tepi jalan di hujung Kampung Bunga Chepir.
Menurut laporan yang dikeluarkan Astro Awani, Mohd Nur Huda Abdul Aziz, 18, bersama ibunya sebelum itu menunggang motosikal dan dalam perjalanan untuk menghantar ibunya, Rahimah Yatim, 40-an, untuk menoreh getah di kebun pada jam 7.30 pagi.
Disangkakan tangisan kucing.
Kedua-dua mereka kemudian terdengar bunyi tangisan seperti kucing dan ternampak ada gumpalan tuala di atas bungkusan surat khabar di tepi jalan di selekoh berhampiran kebun getah.
Mereka kemudian terus segera memeriksa dan melihat isi kandungannya, terkejut apabila mendapati ada bayi berlumuran darah serta masih hidup dalam bungkusan tuala itu..
Saya hantar emak saya pergi kebun di sebelah sini, lepas itu terdengar bunyi suara bayi, tetapi berselimut dengan kain tuala. Saya buka tengok bayi itu masih basah lagi rambut dia ada darah lagi. Saya buang semut dekat belakang badan dia sebab takut dia sakit kena gigit dengan semut, tali pusat pun ada. Masa itu rasa kasihan dan rasa sentap (marah) jugalah sebab bayi masih kecil,”
kata Mohd Nur Huda ketika mengimbau kembali detik-detik dia bertemu dengan bayi malang itu.
Bayi yang masih bertali pusat itu juga dikatakan kelihatan dalam kesejukan.
Urinya masih dibadan.
Bayi itu mungkin baru saja diletakkan di situ kerana darahnya pun masih banyak, manakala urinya masih melekat di badan. Emak saya sebak melihat keadaan bayi itu yang sangat comel dan cukup sifat tetapi sampai hati ibunya sanggup membuangnya ke kawasan kebun getah di Kampung Bunga ini kerana ia sunyi dari laluan orang ramai,
ujarnya lagi.
Menghubungi jururawat & melaporkan kepada polis.
Nur Huda dan ibunya kemudiannya mengambil tindakan segera menghubungi jururawat dari klinik berdekatan sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis.
Sementara itu menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitendan Abdul Razak Osman bayi yang lengkap bertali pusat itu ditemui pada 8 pagi.
Bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang di tepi jalan di hujung Kampung Bunga Chepir. Katanya bayi itu sempat diselamatkan penduduk kampung daripada menjadi mangsa haiwan liar atau dilanggar kenderaan.
Bayi kini dirawat di Hospital Sik
Bayi yang masih hidup itu kemudianya di hantar ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut. Menurut Abdul Razak, laporan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.