Sarapan pagi adalah makanan terpenting untuk setiap manusia. Sebab itulah lahirnya kata-kata hikmah Barat yang menyatakan, “Bersarapanlah seperti raja, makan tengahari seperti rakyat jelata, dan makan malamlah seperti orang fakir.” Kata-kata itu bukanlah berniat untuk menghina fakir miskin tetapi hanyalah untuk memberi gambaran kuantiti makanan yang sebaiknya diambil dalam seharian.
Bagi ibu-ibu yang sedang berpantang, waktu makan adalah sesuatu yang harus diberi perhatian penuh. Makanan yang diambil haruslah bersesuaian dengan keperluan fizikal badan dan menyegarkan minda. Kuantiti yang diambil juga haruslah bertepatan.
Mama Siti sangat beruntung sewaktu melahirkan anak-anak dan berpantang. Emak Mama Siti memantau dan menyediakan makanan berpantang, bermula daripada sarapan hinggalah ke snek malam. Emak Mama Siti sangat menitikberatkan jadual pemakanan kerana ia bukan sahaja untuk kesihatan Mama Siti, malah juga untuk menghasilkan kuantiti dan kualiti susu badan yang baik.
Antara menu sarapan pagi yang emak Mama Siti sediakan termasuklah yang disenaraikan di ruangan berikutnya.
Menu Sarapan Pagi Untuk Ibu Berpantang Yang Sedap & Berkhasiat
#1 Bubur Nasi bersama Ikan Bilis
Masukkan segenggam beras, 3 cawan air dan secubit garam di dalam periuk dan masak dengan api sederhana. Jika kurang air, bolehlah ditambah lagi. Tutup api apabila nasi kelihatan sudah kembang, tak perlu tunggu hingga nasi betul-betul hancur.
Kemudian, panaskan kuali dengan kuantiti minyak yang sedikit. Gorengkan ikan bilis bersama-sama dengan hirisan ½ labu bawang besar, 1 ulas bawang putih dan 1 inci halia. Jika nak masukkan sedikit lobak merah dipotong dadu pun boleh juga. Setelah semuanya garing, masukkan sedikit air asam jawa untuk menambah perisa. Hidangkan semasa panas, pasti menambah selera.
#2 Roti Capati
Campurkan tepung ataa atau tepung gandum dan garam di dalam bekas adunan dan masukkan air sedikit demi sedikit sambil gaulkan tepung dengan jari. Uli adunan tepung itu lebih kurang 10 minit. Rehatkan doh selama 15minit, dan pastikan ia ditutup dengan kain lembab.
Kemudian, lembabkan tangan dengan minyak sapi dan uli doh selama 5 minit lagi hingga licin. Potong doh menjadi bebola kecil dan taburkan sedikit tepung gandum ke atasnya sebelum menggelek hingga nipis.
Bakar adunan di atas kuali leper sambil ditekan perlahan hingga masak di kedua-dua bahagian. Hidangkan dengan kuah kari atau kuah dal.
#3 Mee Sua
Goreng bawang putih yang dicincang hingga garing dan wangi, kemudian angkat dan toskan. Dengan menggunakan minyak yang sama tumiskan bawang merah hingga garing. Masukkan air untuk membuat kuah sup dan juga cendawan serta lobak merak yang dipotong kiub. Perasakan sup dengan garam dan lada sulah. Seterusnya, masukkan telur ke dalam sup.
Didalam bekas berasingan celurkan mee suah dengan air panas hingga sedikit lembut dan toskan. Hidangkan bersama sayur siew bak choy rebus, gorengan bawang putih dan cil berkicap untuk menambah selera.
#4 Lempeng Oat
Penyediaan lempeng oat ini pun mudah juga. Sediakan bancuhan tepung gandum dengan air dan sedikit garam sebagai perasa. Kemudian, tambahkan sedikit oat dan kalau mahu boleh juga tambah esen vanila untuk penaik rasa. Letakkan sesudu dua gula (tidak perlu berlebihan) ikut kehendak anda dan gaulkan semua bahan sehingga serasi. Panaskan kuali dan masak adunan tepung lempeng oat itu. Boleh juga dimakan bersama dengan madu asli.
#5 Bijirin bersama Buah-buahan
Sarapan bijirin mungkin sesuatu yang mudah dan biasa untuk kebanyakan orang. Namun demikian, ianya mempunyai banyak khasiat berzat, terutamanya untuk ibu-ibu yang sedang berpantang dan berdiet. Pastikan ibu-ibu memilih bijirin syang mempunyai kandungan nutrisi, vitamin, mineral dan serat yang lengkap. Juga, pilihlah bijirin yang mengandungi rendah atau tanpa gula. Bagi menaikkan selera, tambah hirisan buah-buahan seperti pisang, taburan kismis atau peach.
#6 Dumplings
Pasti ibu-ibu yang sedang berpantang akan rasa kebosanan berada di rumah dan tidak bebas untuk kemana-mana. Kalau rindu hendak makan dumplings seperti di restoran, ibu-ibu boleh sahaja buat di rumah. Mudah sahaja. Lagipun, dumplings boleh dibuat awal-awal dan disimpan di dalam peti sejuk. Hanya perlu kukus apabila mahu makan.
Bersarapan dengan dumplings buatan sendiri pasti sedap dan puas hati. Meh Mama Siti kongsikan cara membuatnya:
Campurkan 3 cawan tepung gandum, ¾ cawan tepung jagung, sedikit garam, minyak dan air panas. Gaulkan semua bahan sehingga tidak lekat di tangan. Perap dalam 20 minit dalam bekas bertutup.
Sementara itu, bolehlah mula buat inti dumplings. Kisar isi ayam atau daging (juga boleh guna udang) bersama dengan telur. Kemudian, gaulkan bersama dengan cili, lobak, bawang yang dicincang serta 2 sudu sos tiram, sedikit sos ikan dan sedikit minyak bijan. Boleh juga tambah garam dan lada sulah, mengikut citarasa.
Kemudian, bentukkan inti serta balut dengan kulit yang telah diuli dan perap sebelumnya. Kukus selama lebih kurang 10 minit.
#7 Telus kukus
Telur kukus juga boleh menaikkan selera bersarapan semasa berpantang. Jika ibu ingin mencuba menyediakan telur kukus, mulakan dengan menggorengg bawang merah hingga keperangan. Kemudian, pukul telur hingga kembang dan masukkan bawang yang telah digoreng ke dalam telur.
Tambahkan hirisan daun bawang, susu yang telah dicairkan serta sedikit serbuk lada hitam dan garam. Gaulkan semua campuran sehingga sebati, dan masukkan ke dalam mangkuk tahan panas. Kukuskan selama 20-30 minit.
Ibu-ibu boleh juga gandingkan sarapan-sarapan yang menyelerakan ini dengan air seperti milo panas, jus kurma atau susu suam.
Mmmm, terasa lapar pula bila menulis resepi mudah untuk sarapan bagi ibu berpantang ini. Selamat mencuba dan selamat berpantang Mama semua!