Kehamilan adalah satu berita yang pastinya ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang berumah tangga. Apatah lagi jika ianya adalah kali pertama.
Kehamilan merupakan satu fasa yang akan dilalui oleh setiap ibu. Ia adalah fasa yang amat penting dan para ibu perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada kesihatan sepanjang tempoh ini untuk keselamatan kedua-dua ibu dan bayi.
Rawatan semasa mengandung adalah proses yang mahal yang antaranya merangkumi ultrasound, pemeriksaan bulanan, suplemen pranatal ibu dan suntikan untuk mengelakkan penyakit untuk kedua-dua ibu dan anak. Warga Malaysia bernasib baik kerana boleh mendapati rawatan percuma atau dalam kos yang sangat rendah dari Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) yang disediakan oleh kerajaan – dibawah pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ada yang mungkin keliru dengan klinik kesihatan (KK) dan klinik kesihatan ibu dan anak (KKIA). Yang pasti, keduanya berada di dalam satu pentadbiran yang sama bagi perkhidmatan kesihatan awam yang disediakan oleh kerajaan Malaysia kepada rakyatnya.
Apakah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA)?
Perkhidmatan kesihatan ibu dan anak adalah salah satu tanggungjawab kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kesihatan khusus bagi golongan ibu dan anak, seawal anak di dalam kandungan. Sasaran utama adalah bagi golongan ibu hamil dan kanak-kanak yang beumur 6 tahun ke bawah.
Fokus perkhidmatan klinik ini adalah kepada penjagaan kesihatan pra-kehamilan, penjagaan antenatal, penjagaan intrapartum dan kelahiran, penjagaa postnatal, perancangan keluarga dan perkembangan kesihatan kanak-kanak. Klinik ibu dan anak ini terdapat di kebanyakan daerah di seluruh negara.
Tentunya banyak informasi yang ingin setiap ibu perlu tahu mengenai klinik ibu dan anak ini. Bertepatan dengan namanya, klinik ini menyediakan perkhidmatan perubatan kepada ibu dan anak, seawal kandungan sehingga anak mencapai umur 6 tahun.
Masalah kesihatan yang dihadapi oleh ibu hamil; contoh: anemia, hipertensi, diabetes, boleh menjejaskan perkembangan serta pembesaran bayi di dalam kandungan dan boleh mengancam nyawa ibu tersebut.
Pengawasan serta pengendalian kesihatan ibu yang rapi dan berterusan dapat memastikan pengesanan awal yang membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil dengan segera.
Dari sinilah wujudnya mekanisme bagi memantau perkembangan ibu dan anak melalui pemeriksaan kesihatan di Klinik Ibu dan Anak yang menyimpan segala rekod kesihatan ibu hamil.
Selain fungsi utama sebagai pusat setempat pemeriksaan ibu hamil, KKIA berperanan sebagai sebuah klinik perubatan am bagi kanak-kanak. Pemeriksaan perubatan dan kesihatan bagi anak bermula seawal di dalam kandungan ibu, bayi setelah dilahirkan, pemantauan tumbesaran kanak-kanak serta mengenalpasti masalah kesihatan sebelum dirujuk ke pakar yang berkenaan.
Perbezaan Klinik Ibu dan Anak dengan Klinik Kesihatan Biasa
Ada yang mungkin keliru – Klinik Kesihatan (KK) dan Klinik Ibu dan Anak (KKIA) – bukankah fungsinya sama? Apatah lagi kebanyakan Klinik Ibu dan Anak, fasilitinya terletak di Klinik Kesihatan, dan berkongsi doktor dan jururawat yang sama. Ada benarnya. Berikut antara perbezaan antara dua klinik ini:
Masa rawatan/Operasi klinik:
- Klinik Kesihatan beroperasi setiap hari, kecuali hari minggu dan cuti umum;
- Klinik Ibu dan Anak beroperasi pada hari dan sesi tertentu sahaja. Anda perlu mendapatkan temujanji sebelum berkunjung ke Klinik Ibu dan Anak.
Jenis rawatan:
- Klinik Kesihatan memberikan rawatan am perubatan dan kes kecemasan sebelum di rujuk ke hospital dan pakar.
- Klinik Ibu dan Anak memberikan rawatan dan temujanji susulan khusus untuk kehamilan, kelahiran dan kesihatan kanak-kanak.
Kad rawatan/Rekod perubatan
- Kad rawatan dan rekod perubatan bagi klinik kesihatan mengandungi maklumat yang agak terhad, dan rekod perubatan lengkap disimpan di klinik.
- Rekod Klinik Ibu dan Anak disimpan di dalam buku pink/merah yang mengandung maklumat lengkap perihal kandungan ibu, dan buku ini disimpan bersama ibu. Format and kandungan kesihatan ibu hamil adalah seragam di dalam buku ini, di mana doktor yang mengendalikan kes kecemasan sekiranya berlaku dapat memahami dan mengetahui sejarah kehamilan dan kesihatan ibu yang disimpan di dalam buku ini.
- Bagi rekod perubatan kanak-kanak pula, terdapat buku buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak dari 0 bulan – 6 tahun, yang merekodkan pertumbuhan bayi dan rekod perubatan kanak-kanak seperti jadual imunisasi serta sejarah perubatan kanak-kanak. Buku ini juga menjadi rujukan sekiranya kanak-kanak perlu dirujuk ke pihak pakar bagi rawatan lanjut sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan yang berlarutan.
Buku Merah/Buku Pink
Rekod kesihatan ibu di Malaysia bermula dengan kad klinik, yang mempunyai maklumat penjagaan kesihatan ibu yang agak terhad. Tahun demi tahun, penambahbaikan dijalankan selaras dengan keperluan maklumat kesihatan, di mana pada hari ini, penggunaan buku pink ini menjadi satu platform lengkap maklumat kesihatan ibu dan bayi.
Secara amnya, buku rekod ini mengandungi maklumat mengenai perihal penjagaan kesihatan ibu iaitu kandungan semasa, tumbesaran janin, kelahiran, bayi yang baru dilahirkan dan postnatal. Ia juga merangkumi pendidikan kesihatan bagi ibu mengenai penjagaan semasa hamil, semasa bersalin, penyusuan susu ibu dan yang berkaitan dengan penjagaan ibu.
Tidak kira pengamal perubatan kerajaan ataupun swasta, buku pink ini amatlah penting dan mempunyai informasi yang seragam. Walaupun hospital swasta mempunyai versi buku pink sendiri, namun maklumat dan segala butiran penting kesihatan serta sejarah perubatan ibu mengandung adalah sama seperti buku pink dari klinik ibu dan anak.
Terdapat juga klinik dan hospital swasta menggunakan buku pink yang sama seperti klinik kerajaan. Tidak kira versi apa pun, buku ini amatlah penting bagi setiap ibu mengandung.
Pemeriksaan di Klinik Ibu dan Anak
Buku pink perlu dibuka bermula dari sebaik saja ibu mengetahui dirinya hamil – sebelum berakhirnya trimester pertama. Ibu hamil perlu mengenalpasti Klinik Kerajaan atau Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) berhampiran berdasarkan alamat tempat tinggal semasa. Di sinilah ibu akan mendapatkan pemeriksaan pertama fasa awal kehamilan, dan seterusnya membuka buku pink ini.
Bagi yang pertama kali ke KKIA untuk pemeriksaan prenatal dan membuka buku pink, berikut adalah dokumen yang perlu dibawa bersama:
- Kad pengenalan
- Salinan kad pengenalan suami atau sijil nikah (ibu tunggal tidak perlu)
- Bil elektrik atau air terkini untuk mengesahkan alamat rumah anda
- Surat rujukan daripada doktor atau klinik lain (jika ada)
Sebelum buku pink ini dapat dikeluarkan oleh KKIA dan diserahkan kepada ibu, berikut adalah prosedur yang perlu ibu lalui di klinik:
- Jururawat akan mengukur berat dan tinggi ibu, serta merekodkan kesihatan ibu berdasarkan maklumat yang diperlukan – seperti kitaran haid, masalah dan sejarah perubatan lampau.
- Kiraan Tarikh jangkaan bersali (EDD) berdasarkan kiraan tarikh hari pertama haid terakhir
- Ujian air kencing bagi mengesan kandungan protein dan gula dalam air kencing.
- Pemberian suplement prenatal seperti vitamin C, B kompleks, asid folik dan zat besi.
- Janji temu seterusnya bagi memantau kesihatan ibu dan bayi di dalam kandungan.
Setelah selesai, ibu akan diberikan buku pink yang akan merekodkan segala perkembangan kesihatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan (prenatal) sehingga kelahiran (post-natal). Ini termasuklah temujanji seterusnya di KKIA dan hospital – kerajaan atau swasta mengikut pilihan ibu.
Jadual temujanji bagi pemeriksaan ibu mengandung, secara amnya adalah seperti berikut:
- Sekali sebulan: bagi awal kandungan (trimester pertama) sehingga mingu ke 28 atau 7 bulan kandungan
- Setiap 2 minggu: bagi kandungan bulan ke 8
- Setiap minggu: bagi kandungan 8 bulan ke atas, sehingga waktu bersalin
Walau bagaimanapun, pemeriksaan dan temujanji ini mungkin berubah sekiranya pegawai perubatan yang memeriksa mendapati terdapat kehamilan ibu yang berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan yang lebih kerap berbanding kandungan normal.
Kandungan buku pink – ibu & kandungan
Pada setiap buku pink ini, terdapat pelekat berwarna yang akan dilekatkan berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan. Terdapat 4 warna iaitu putih, hijau, kuning dan merah. Warna ini memberi maksud risiko kehamilan bagi setiap ibu:
- Putih: Tiada risiko: Boleh bersalin di mana-mana hospital termasuk hospital daerah
- Hijau: perlu berjumpa dengan doktor di KKIA dan temujanji seterusnya bersama jururawat di bawah pengawasan doktor. Ibu hamil yang diberikan pelekat ini antaranya adalah primid, mempunyai berat badan berlebihan, mempunyai penyakit asma, sejarah kelahiran terdahulu melalui vakum dan lain-lain lagi.
- Kuning: Perlu pemantauan dotor pakar obstetrik & ginekologi (O&G). Antara yang memerlukan pemantauan pakar ini adalah ibu hamil yang mempunyai penyakit diabetes, darah tinggi, remaja hamil tanpa nikah dan lain-lain.
- Merah: Ibu hamil yang berisiko tinggi, yang memerlukan rujukan segera kepada pakar di hospital besar. Antaranya ibu yang mempunyai penyakit jantung, terdapatnya kontraksi pramatang.
Antara maklumat yang terdapat di dalam ‘buku pink’ ini adalah:
Maklumat peribadi ibu & suami:
- Bahagian A: Sejarah kadungan yang terdahulu seperti bilangan kehamilan & tahun, status kandungan – lahir atau gugur, kelahiran pramatang, jenis kelahiran, tempat kelahiran, jantina anak, berat, komplikasi jika ada, status penyusuan ibu dan keadaan semasa anak (hidup/mati).
- Bahagian B: Ujian saringan antenatal – kumpulan darah, vaksin yg telah diambil, ujian HIV, talasemia da lain-lain informasi berserta Tarik dan keputusan ujian saringan yang diambil oleh ibu.
- Bahagian C: Sejarah kesihatan ibu dan keluarga seperti kitaran haid, kaedah perancangan keluarga yang diambil, masalah kesihatan ibu seperti penyakit kronik – darah tinggi, kencing manis, alergi, penyakit jantung, asthma dan lain-lain yang disenaraikan di dalam buku ini.
- Bahagian D: Maklumat kandungan semasa bagi ibu seperti BMI, jaundis, Tiroid, payu dara, pallor, system kardiovaskular dan pernafasan ibu, pemeriksaan gigi dan lain-lain maklumat yang berkaitan.
- Maklumat kandungan semasa bagi setiap temujanji yang dijalankan. Ini termasuklah Tarikh, temujanji merupakan lawatan rumah atau klinik, ujian makmal urine, rekod pemeriksaan tekanan darah, nadi, edema, tempoh kandungan, tinggi rahim. Maklumat bayi juga direkodkan di bahagian ini seperti kedudukan bayi, degupan jantung dan pergerakan bayi.
Maklumat lain yang direkodkan:
Selain dari rekod kesihatan ibu, bayi dan temujanji, berikut adalah maklumat lain yang terdapat di dalam buku pink yang akan menjadi rujukan ibu dan pihak yang memberikan rawatan:
- Rekod kemasukan ke hospital sekiranya terdapat komplikasi sepanjang tempoh kehamilan yang memerlukan pemeriksaan pakar perubatan di hospital.
- Rekod perihal kelahiran seperti tarikh, tempat, suntikan yang diterima dan komplikasi semasa bersalin.
- Rekod Kelahiran bayi.
- Maklumat Postnatal bagi ibu – Tarikh discaj dari hospital, maklumat kesihatan ibu semasa discaj.
- Senarai Semak Pengendalian Postnatal – bagi mengenalpasti faktor risiko yang mungkin dihadapai setelah kelahiran.
- Senarai semak jaundis dan pemantauan jaundis bayi. Tahap jaundis juga akan direkodkan.
- Senarai semak penyusuan susu ibu.
- Jagaan postnatal di klinik – bagi janji temu postnatal seterusnya.
Kepentingan Buku Pink
Tidak kira hospital atau klinik – kerajaan atau swasta, buku pink ini amat penting dan ibarat nyawa kepada setiap ibu hamil dan bayi yang dikandungnya. Setiap catatan oleh doktor yang memeriksa, temujanji susulan atau berkala yang telah dtetapkan, perlulah diikuti dan difahami.
Selain itu, ibu juga perlu memberikan maklumat yang tepat serta tidak berselindung dari segala maklumat dah sejarah kesihatan terdahulu, yang boleh membawa risiko yang mungkin mengancam nyawa ibu dan bayi.
Ibu juga digalakkan membawa bersama buku ini sepanjang masa bagi menjadi rujukan pihak yang merawat sekiranya terjadinya kes kecemasan. Ini adalah kerana segala maklumat yang diperlukan terdapat di dalam buku ini dan mempercepatkan proses rawatan atau menyelamatkan nyawa, sekiranya berlaku sebarang kecemasan yang tidak dijangka.
Buku Rekod Kesihatan Kanak-Kanak
Buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak yang mula digunakan pada tahun 1980an (kad kuning), telah berubah wajah pada tahun 1990an kepada kad bewarna biru (lelaki) dan merah (perempuan) dan kini setiap bayi yang dilahirkan diberi satu buku rekod kesihatan kanak-kanak yang lengkap dengan maklumat penting.
Secara amnya buku rekod kesihatan kanak-kanak ini diberikan kepada bayi yang dilahirkan di Hospital kerajaan. Terdapat juga hospital swasta yang terpilih berdasarkan kepada inisiatif kesihatan negeri masing-masing. Terdapat dua warna iaitu merah jambu (untuk bayi perempuan) dan biru (untuk bayi lelaki).
Buku rekod ini digunakan semasa pemeriksaan kesihatan bayi di hospital/klinik kerajaan dan swasta semenjak dilahirkan sehingga umur 6 tahun.
4 Komponen utama adalah kegunaan rekod kesihatan kanak-kanak adalah:
- Pemantauan perkembangan dan penilaian kesihatan.
- Saringan masalah kesihatan dan perkembangan.
- Bimbingan awal (pendidikan kesihatan).
- Rekod imunisasi.
Rekod imunisasi dalam buku ini mencatatkan status imunisasi samada lengkap atau ada keciciran. Rekod imunisasi ini diperlukan semasa kemasukan ke sekolah untuk direkod di dalam Buku Rekod Kesihatan Murid.
Bayi dan kanak-kanak yang dilahirkan di Hospital Swasta dan seterusnya mendapatkan rawatan imunisasi di Klinik Swasta juga akan diberi Kad/ buku Pemantauan kesihatan termasuk rekod imunisasi dan maklumat ini diperlukan semasa kemasukan ke sekolah kelak.
Kepentingan Buku Rekod Kesihatan Bayi & Kanak-kanak 0-6 tahun:
- Menyimpan maklumat biodata kelahiran bayi anda dari lahir sehingga umur 6 tahun.
- Menyimpan rekod imunisasi anak anda dari lahir hingga umur 6 tahun. Rekod ini penting bagi kemasukkan ke sekolah, ke universiti dan ada juga yang memerlukan maklumat imunisasi untuk ke luar negara.
- Menyimpan rekod kesihatan dan perkembangan anak anda dari lahir hingga umur 6 tahun. Maklumat ini penting apabila anak masuk sekolah dan boleh digunakan sebagai rujukan sekiranya ada masalah pembelajaran di sekolah.
- Memberikan pendidikan kesihatan kepada anda sebagai ibu bapa tentang penyusuan susu ibu, pemakanan bayi, perkembangan anak anda, tips mengenai kesihatan seksual dan keselamatan diri, cara-cara untuk mencegah kecederaan & kemalangan di rumah dan tanda-tanda bahaya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Senarai Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Lembah Klang
Berikut merupakan senarai KKIA terdapat di Lembah Klang yang boleh menjadi rujukan para ibu bapa berdasarkan tempat tinggal yang hampir dengan rumah masing masing:
- KKIA Cheras Baru
Jalan 49, Bukit E Cheras, 56100 Ampang
Hulu Langat, Selangor
No. Telefon: 03-4297 5853
- KKIA Hospital Orang Asli Gombak
Hospital Orang Asli Gombak
KM42 Jalan Pahang Lama
53100 Gombak Selangor
No. Telefon: 03-6189 2122
- KKIA Kuala Kubu Bharu
Jalan Kolam Air
44400 Kuala Kubu Baru
Hulu Selangor.
No. Telefon: 03-6064 1257
- KKIA Bukit Sentosa
Jalan Seroja 1A
Bukit Sentosa
44200 Rasa
Hulu Selangor.
No. Telefon: 03-6104 0062
- KKIA Kg Pandan
Kg Pandan, 55100 Ampang
Hulu Langat Selangor
- KKIA Jalan Bangsar
Blok 2, Tingkat Bawah, Flat Sri Pahang,
Bukit Bangsar, 59000 Kuala Lumpur
- KKIA Koperasi Polis Fasa 2
Dewan Komuniti Fasa 2, Taman Koperasi, Batu Caves, 68100 Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-6184 1767
- KKIA Taman Pantai Indah
No. 7, Jalan 2/112F, Taman Pantai Indah, Jalan Pantai Dalam, 59000 Bangsar, Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-2282 5107
- KKIA Bandar Tun Razak
Blok 92, Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-9171 7129
- KKIA Pasar Moden Gombak
Batu 5, Jalan Gombak, 53000 Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-4021 8030
- KKIA Taman Sri Sentosa
Block 67, Taman Sri Sentosa,55800 Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-7781 4120
- KKIA Cheras Makmur
No. 16 & 18, Jalan 2/96A, Taman Cheras Makmur, 56100 Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-9130 4796
Selain itu, boleh juga dirujuk di halaman ini:
Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur