Membesarkan anak-anak adalah salah satu pengalaman paling berharga di dunia, dan adalah wajar bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka memperolehi yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan baik dari segi pendidikan, kualiti hidup, dan zaman kanak-kanak yang bahagia untuk memastikan kesihatan mental dan fizikal mereka.
Ada banyak perkara yang harus dipertimbangkan oleh ibu bapa pada setiap tahap perkembangan anak-anak. Salah satu perkara yang selalu digalakkan oleh ibu bapa adalah supaya anak-anak mereka mengambil bahagian dalam aktiviti luar/fizikal kerana aktiviti seperti ini bukan sahaja penting untuk kesihatan tetapi ia juga dapat membawa kesan positif sepanjang hayat terhadap peningkatan kesihatan, kemahiran motor dan kognitif, tabiat harian dan sebagainya.
Dengan kata lain, aktiviti fizikal memberi sokongan padu untuk membina watak dan perkembangan kemahiran si kecil.
Berenang merupakan salah satu aktiviti yang paling digemari terutamanya di Malaysa yang bercuaca panas sepanjang tahun.
Malaysia juga mempunyai lokasi perairan yang popular, termasuklah pantai-pantai yang indah dan banyak kolam renang yang menarik.
Untuk memastikan si kecil dapat menikmati keindahan destinasi perairan tempatan bersama keluarga tecinta, adalah penting untuk mereka belajar berenang agar mereka tidak takut akan air daripada usia yang kecil. Namun, masih ada sebilangan ibu bapa yang menolak idea untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada bahan kimia dan air yang sejuk di kolam renang.
Ibu bapa juga amat risaukan soal keselamatan. Lagi-lagilah dengan kehadiran wabak Covid-19 yang masih menular, kebanyakan ibu bapa bimbang untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada sebarang aktiviti berkaitan dengan air.
Oleh kerana itu, kebanyakan sekolah dan pusat renang seperti Happy Fish Swim School amat mementingkan dan mengutamakan tahap kebersihan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan dengan mensanitasikan kolam renang dan memastikan paras kolam air yang dibenarkan.
Kolam renang untuk bayi dan kanak-kanak mesti mematuhi garis panduan air dengan sebaiknya kerana kulit dan badan mereka lebih sensitif terhadap impak persekitaran. Pada masa ini, pusat dan kolam awam harus mempertimbangkan pemasangan sistem pemanasan dan sanitasi kolam yang berkualiti seperti sistem Waterco (penyedia penyelesaian sehenti terkemuka untuk persekitaran air yang selamat dan sihat) untuk menyesuaikan suhu dan tahap klorin kepada standard yang selamat dan bersih khas untuk si kecil sambil meminimumkan penggunaan dan kos tenaga,
kata Encik Tan Jian Yong, pengasas sekolah renang bayi dan kanak-kanak terkemuka di Singapura dan Malaysia, Happy Fish Swim School.
Berikut adalah beberapa sebab pentingnya bagi kanak-kanak untuk belajar berenang pada usia muda demi kemahiran yang bermanfaat buat jangka masa panjang.
1. Berenang pada usia muda mampu membantu si kecil mengatasi rasa takut terhadap air sambil mendapatkan manfaat senaman badan
Ianya penting untuk kanak-kanak untuk belajar berenang pada usia yang muda supaya mereka tidak rasa takut terhadap air. Keselesaan adalah komponen yang perlu diutamakan apabila berada dalam kolam air.
Kanak-kanak akan diajar teknik pernafasan yang betul untuk menanamkan keyakinan waktu berenang. Walaupun kebanyakan anak kecil tidak secara semula jadi takut akan air, mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran air dengan lebih mudah jika mereka diajar berenang pada usia yang muda untuk mengelakkan rasa takut akan air apabila usia meningkat.
Semakin awal kanak-kanak mula berenang, semakin pendek tempoh peralihan untuk mereka rasa selesa dalam air lalu semakin mudah untuk bertambah baik dalam aktiviti berenang.
Ketahanan air bertindak untuk menahan dan menyokong badan si kecil sambil mengurangkan beban sendi dan otot mereka dan ini mampu mencegah kecederaan. Tidak seperti sukan lain seperti berlari, berenang lebih sesuai untuk kanak-kanak kerana ia tidak agresif lalu mampu meningkatkan koordinasi badan
jelas Encik Tan
2. Berenang membawa manfaat kesihatan dan meningkatkan koordinasi badan
Berenang sangat bermanfaat untuk kesihatan kardiovaskular. Kardiovaskular adalah sistem peredaran darah untuk membekalkan darah ke seluruh badan.
Melalui berenang, badan kanak-kanak akan dilatih untuk menggunakan oksigen dengan lebih berkesan yang seterusnya membantu menguatkan jantung, saluran darah, otak dan paru-paru.
Berenang juga sesuai untuk kanak-kanak yang menghidap asma. Ini kerana ketika mereka menahan nafas di dalam air, ia membantu mengembangkan kapasiti paru-paru dan meningkatkan kemampuan mereka untuk mengawal pernafasan.
Selain itu, ketika kanak-kanak diminta untuk menggerakkan tangan dan kaki pada masa yang sama ketika berenang, mereka menggerakkan otot mereka untuk kekuatan dan kawalan yang lebih cekap.
Ini menyumbang kepada peningkatan koordinasi dan keseimbangan badan. Ia bukan tugas yang mudah bagi si kecil untuk menyatukan pergerakan badan mereka.
Latihan yang kerap mampu menggalakkan mereka untuk turut berusaha dalam aktiviti lain dalam kehidupan seharian seperti berlari, menulis dan banyak lagi!
3. Berenang meningkatkan fungsi kognitif
Semasa berenang, kanak-kanak menggerakkan tangan dan kaki mereka pada masa yang sama dan ini mendorong pergerakan corak silang dua hala.
Pergerakan menggunakan tangan dan kaki secara berlawanan akan membantu pertumbuhan otak dengan membina neuron terutama di corpus callosum yang bertindak untuk memindahkan maklumat yang kompleks antara dua bahagian otak.
Oleh itu, berenang akan membantu mempermudahkan komunikasi dan pencernaan maklumat dan dalam jangka masa panjang, ia membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran membaca, perkembangan bahasa dan juga kesedaran ruang.
Selalunya, corpus callosum akan selesai berkembang pada usia 12 tahun, jadi mengapa tidak mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan perkembangan otak si kecil anda lebih awal?
Penyambungan otak juga penting untuk koordinasi tangan-mata yang baik. Otak bertanggungjawab untuk menukar isyarat untuk mengkoordinasikan mata dan tangan untuk memastikan mereka berada pada sasaran yang sama. Latihan seperti berenang dapat membantu penyambungan otak dan meningkatkan lagi kemahiran ini.
4. Meningkatkan keyakinan diri dan keyakinan sosial
Berenang adalah cara terbaik untuk bersosial. Apabila menghadiri kelas renang, kanak-kanak akan bertemu rakan-rakan seusia, para tenaga pengajar dan ibu bapa atau penjaga.
Ini membolehkan si kecil berinteraksi dengan mereka yang berada di luar zon selesa dan belajar untuk berfungsi dalam kumpulan. Jalinan hubungan bersama rakan belajar dapat melahirkan interaksi sosial yang positif dalam persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan justeru membantu meningkatkan keyakinan diri si kecil.
Ia membolehkan mereka menjadi lebih selesa bertemu rakan baru. Sama seperti latihan lain, berenang juga dapat membantu kanak-kanak menghilangkan kegelisahan dan perasaan negatif demi meningkatkan kesihatan emosi mereka.
Berenang bukan sahaja membawa manfaat seumur hidup kepada kanak-kanak dan memberi mereka kemahiran hidup yang penting, ia juga mengajar mereka tentang keselamatan air dan kepentingan kebersihan.
Pengetahuan mengenai keselamatan air adalah penting bagi si kecil supaya mereka ketahui cara untuk mengelakkan diri daripada bahaya lalu kekal tenang semasa berada dalam situasi yang tidak diingini.
Dengan semua langkah keselamatan dan garis panduan air kolam yang ada, anda tidak perlu takut apabila si kecil anda berada di kolam renang. Dorong mereka untuk mula berenang pada usia muda dan mereka pasti akan menghargai dan menikmati faedahnya buat selama-lamanya.
Walaupun kita masih berada dalam sekatan PKP, ia belum terlambat untuk memulakan rancangan untuk memasukkan aktiviti berenang ke dalam rutin harian anak-anak kita sejurus selesainya sekatan ini.
Berenang boleh menjadi salah satu aktiviti keluarga untuk mengeratkan lagi hubungan bersama anak-anak kita dan bukan sahaja itu, aktiviti ini juga penting untuk gaya hidup yang lebih sihat!