Siapa tak teruja bila si manja dah masuk 6 bulan kerana itu menandakan si manja Mama dah boleh mula makan, yeay! Lagi teruja bila fikirkan untuk membuat persediaan awal perjalanan ‘solid food’ si manja. Pasti ada sedang mencari resepi bubur bayi 6 bulan kan?
Bukan apa, prepare awal-awal ni bagus. Tak ada lah buntu nak mulakan dengan menu apa nanti. Jom ketahui lebih lanjut mengenai makanan yang boleh diberikan kepada bayi 6 bulan Mama di sini!
Makanan Pertama Bayi 6 Bulan
Makanan apakah yang patut diberi kepada bayi buat pertama kali? Mesti ada ibubapa yang rasa teruja nak beri bayi makan, tapi ada juga sebahagian yang rasa ‘takut-takut’ nak mulakan makanan pertama bayi mereka.
Sebenarnya Mama akan berasa lebih yakin bila dah tahu apa yang sesuai diberikan kepada si manja.
Mama boleh mulakan dengan makanan yang pejal seperti memberi puri buah-buahan atau sayuran, atau bubur nasi yang dicampurkan dengan susu ibu / susu formula. Sesuaikan kepekatan puri ini sikit demi sikit.
Antara makanan yang paling digemari dan mudah untuk diterima oleh si manja adalah:
- Lobak merah
- Keledek
- Labu
- Pisang
- Betik
- Pear
Selain dalam bentuk bubur / puri, makanan jejari seperti buah-buahan dan sayuran lembut yang dipotong kecil atau biskut bayi juga boleh diberikan.
Pemberian makanan yang bersifat alergenik atau mudah menimbulkan reaksi seperti soya, telur, gandum, ikan, dan makanan yang berasaskan kacang mungkin boleh dilewatkan sikit, terutamanya jika bayi Mama mempunyai masalah kulit sensitif seperti eczema dan alahan.
Namun, tiada masalah jika bayi Mama boleh mengonsumsinya jikalau tiada reaksi yang membahayakan.
MULAKAN DENGAN 1 JENIS MAKANAN TERLEBIH DULU
Selalunya, makanan yang mudah diterima oleh bayi seperti yang disenaraikan di atas tak akan menyebabkan alergi. Namun, seeloknya apabila mencuba sesuatu makanan baru, elakkan daripada mencampurkannya dengan makanan yang lain.
Elakkan daripada memberi anak 2-3 jenis makanan sekaligus kerana ia boleh menyebabkan Mama keliru untuk mengenalpasti makanan yang menjadi punca reaksi alahannya.
Memang normal bagi sesetengah bayi untuk menolak makanan pada awalnya. Namun, jangan jadikan ia alasan untuk menambahkan gula atau garam dalam makanan mereka untuk menjadikannya lebih ‘sedap’.
Apabila telah dibiasakan dengan gula dan garam terlalu awal dalam makanan bayi, mereka akan menganggap makanan ini adalah yang ‘sedap’. Ia juga boleh menyebabkan ketagihan dan boleh menjadi punca masalah kesihatan seperti obesiti dan kerosakan gigi pada awal usia.
Kalau si kecil tak suka makan juga nak buat macam mana?
Mama harus bersabar. Sebenarnya kajian pakar menunjukkan bahawa secara puratanya bayi perlu diperkenalkan dengan sesuatu makanan sebanyak 15 kali sebelum dapat menerimanya. Jadi, cuba bertenang dan jadikan masa makan masa yang seronok.
Lagipun, Mama tak perlu beri kuantiti yang banyak dalam sehari. Menurut kajian, dalam 1-2 bulan terawal, bayi cuma perlukan
- 1 sudu teh buah-buahan, boleh tambahkan kepada 2-3 sudu besar dalam 4 kali makan
- 1 sudu teh sayur, boleh tambahkan kepada 2-3 sudu besar dalam 4 kali makan
- 3 hingga 9 sudu besar bijirin atau nasi dalam 2/3 kali makan
Kalau anak tak mahu juga makan, jangan paksa mereka hingga boleh ‘berperang’ pula. Selain mempelbagaikan jenis makanan, Mama juga boleh mencuba banyak cara penyediaan makanan untuk menarik minat bayi untuk makan.
Ada bayi yang lebih suka makan sendiri, ada yang suka makanan jenis ‘finger food’ berbanding bubur nasi. Berilah mereka peluang untuk mencuba.
5 RESEPI BUBUR BAYI 6 BULAN YANG MUDAH UNTUK DISEDIAKAN
Bagi Mama Papa yang ‘kering idea‘ tak tahu nak masak apa, jom ikut resepi menarik daripada seorang ibu ini. Sangat mudah dan berkhasiat!
1) Bubur nasi sayur bayam
Bahan – bahan :
– Beras wangi 2 sudu sukatan susu tepung
– Beberapa helai daun bayam
– Beberapa ekor ikan bilis
Cara membuat :
- Pertama sekali, semua bahan harus dibasuh bersih.
- Rebus ikan bilis dengan beras terlebih dahulu sehingga nasi lembik jadi bubur baru masukkan sayur bayam.
- Dah siap nanti sejukkan kejap, kemudian baru blend.
2) Bubur sayur kubis bunga
Bahan-bahan :
– Beras wangi 2 sudu sukatan susu fm
– Sayur kubis bunga
– 3 biji kurma
Cara membuat :
- Rebus beras terlebih dahulu baru masukkan kurma dan sayur kubis bunga.
- Semua dah empuk dan dibiarkan sejuk seketika baru blend..
- Kalau pekat sangat boleh tambah sedikit je air.
3) Bubur nasi
Bahan-bahan :
– Beras wangi segenggam
– Lobak merah
– Isi ayam
Cara membuat :
- Rebus semua bahan bersama air sehingga masak..
- Kemudian sejukkan seketika baru blend.
- Masa blend hanya tambah sedikit olive oil.. Done!
4) Bubur hijau brokoli
Bahan-bahan :
– Beras wangi
– Brokoli
– Ikan bilis
Cara membuat :
- Rebus semua bahan bersama air sehingga masak..
- Sejukkan seketika baru blend.
5) Pisang & kismis
Bahan-bahan :
– Buah pisang
– Kismis
Cara membuat :
- Hanya kukus sekejap sahaja untuk kasi lembut.
- Kemudian blend dan dah terus boleh suap bayi makan.
Ha..mudah je nak sediakan resepi bubur bayi 6 bulan ni kan? Untuk permulaan ni tak perlu menu yang ‘fancy’ pun. Bahan pun tak perlu banyak sangat. Bila si manja dah biasa dan dah mula makan dalam kuantiti yang banyak baru kita tambahkan bahan yang lain pula.
Semoga bermanfaat untuk mama sekalian cuba!
BACA JUGA MAKANAN BAYI 8 BULAN – 15 RESEPI UNTUK SI MANJA
Pesan Mama Siti
Memang seronok bila anak dah mula makan. Tapi jangan pula dipaksa atau marah bila anak tak nak makan atau menolak makanan. Almaklumlah si manja baru nak mengenal makanan, jadi ambil masa sikit untuk membiasakan diri dengan makanan pejal. Sebagai Mama kita kena banyak sabar ya!