Ramai Mama dan Papa masih tak pasti tentang suhu normal bayi. Bilakah suhu bayi itu normal dan tak normal? Sebenarnya, suhu normal bayi yang berusia 0 hingga 2 tahun adalah sekitar 36.6 ℃ hingga 38 ℃. Kebiasaannya, suhu badan bayi akan naik sedikit apabila bayi sedang melalui proses pertumbuhan gigi. Tetapi, secara average, suhu bayi yang baru lahir adalah sekitar 37.5 ℃.
Kalau Mama nak tahu, suhu badan bayi lebih tinggi daripada orang dewasa atau kanak-kanak kerana mereka mempunyai permukaan tubuh badan yang berbeza berbanding dengan bayi! Jadi kalau bayi Mama mempunyai suhu melebihi 38 ℃, maksudnya bayi Mama sedang demam.
Kalau Mama rasa bayi Mama menunjukkan tanda-tanda suhu yang tinggi, cara yang terbaik adalah memeriksa suhu bayi dengan menggunakan termometer. Alat ini pasti akan dapat membantu Mama. Tetapi bagaimana cara yang tepat untuk menggunakannya? Jangan risau, Mama Siti pasti akan bantu!
Cara-Cara Memeriksa Suhu Badan Bayi
- Pertama sekali, letakkan bayi di atas tempat yang selesa. Kemudian letakkan termometer di bawah ketiak bayi.
- Kemudian, secara lembut rapatkan ketiak bayi dengan badannya supaya termometer itu tak bergerak selama 15 saat atau sehingga termometer berbunyi.
- Akhir sekali, rujuk termometer untuk lihat suhu bayi.
Bacaan Suhu Rektum dan Cara-Caranya
Selain dari mengambil suhu bayi diketiak, ada beberapa jenis termometer yang boleh digunakan dirumah dan pasti selamat! Cara ini dipanggil bacaan suhu rektum.
Apa tu bacaan suhu rektum? Haa, selain bacaan suhu di bawah ketiak bayi, bacaan suhu rektum ini ialah bacaan suhu di punggung yang paling tepat untuk kanak-kanak berumur 3 tahun dan ke bawah.
“Tak bahaya ke ambil suhu di punggung bayi?” Jangan risau, proses ini selamat tapi Mama kena tahu cara yang betul untuk melakukannya!
2 Cara Kedudukan Anak Untuk Memudahkan Mama Periksa Suhu Badan Bayi:
Mama perlu baringkan mereka dalam posisi meniarap pada paha Mama dan juga duduk pada permukaan yang rata, serta pegang bahagian belakang badan si manja.
Mama harus baringkan mereka dalam posisi menelentang dan bengkokkan sebelah kaki ke arah dada mereka, pegang bahagian paha untuk menahannya.
- Pertama sekali, Mama perlu basuh di bahagian hujung termometer dengan sabun dan kemudian bilaskan dengan air.
- Kedua, Mama harus lembapkan bahagian hujung termometer dengan cecair seperti gel petroleum.
- Ketiga, masukkan termometer ke dalam punggung bayi kedalaman sekitar ½ hingga 1 inci atau sehingga hujung termometer masuk ke dalam punggung.
- Keempat, jangan paksa jika Mama rasa ada sesuatu yang halang termometer untuk masuk.
- Kelima, tahan termometer menggunakan jari sambil pegang punggung bayi Mama. Pastikan si manja dalam keadaan tenang tau.
- Keenam, Mama perlu tunggu sehingga dengar bunyi ‘bip’ atau sebarang signal menandakan bacaan suhu badan anak sudah diperolehi.
- Akhir sekali, Mama wajib catatkan suhu dan masa ketika periksa suhu bayi.
Jadi, kalau suhu bayi Mama menunjukkan lebih daripada 38 ℃, ini bermaksud bayi Mama sedang mengalami demam. Tetapi apakah punca bayi demam ya?
Punca-Punca Bayi Demam Yang Perlu Diketahui
Doktor menjelaskan ada beberapa faktor yang boleh membuatkan bayi sering demam. Antara faktor-faktornya ialah :
- Virus
- Jangkitan bakteria
- Strok haba
- Sinaran matahari yang melampau
- Keadaan radang tertentu seperti artritis reumatoid – keradangan pada selaput sendi (synovium)
- Tumor malignan
- Sesetengah ubat-ubatan, seperti antibiotik dan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi atau sawan
- Sesetengah imunisasi, seperti difteria, tetanus dan pertusis atau vaksin pneumokokal
Simptom-Simptom Bayi Demam Yang Panas
Ketika bayi Mama demam, mereka akan menunjukkan tanda-tanda seperti:
- Badan terasa lebih panas apabila disentuh di dahi, belakang badan dan di perut
- Badan bayi berpeluh dan basah
- Pipi kemerahan
- Menggigil
- Hilang selera makan
- Dehidrasi
- Lemah anggota badan
Perkara Yang Mama Papa Harus Lakukan Apabila Bayi Demam
Jadi, apa yang Mama boleh lakukan bila perkara seperti ini berlaku? Jangan risau, Mama Siti akan membantu Mama di luar sana agar dapat mengawal perkara ini di rumah.
1) Jangan Gunakan Pakaian Yang Tebal Untuk Bayi
Apabila anak Mama demam, tanggalkan segala pakaian yang tebal dan tukarkannya kepada pakaian yang lebih nipis. Keadaan ini akan membuatkan anak Mama lebih selesa dan suhunya akan turun sedikit.
2) Basahkan Kepala Bayi
Mama boleh basahkan sedikit badan bayi dan kepalanya dengan menggunakan air paip ataupun air asam jawa. Dengan cara ini dapat merendahkan suhu dan melegakan kepanasan badannya! Perkara ini boleh dilakukan selang 15 atau 30 minit untuk elakkan bayi terlalu sejuk.
3) Beri Air Yang Cukup Kepada Bayi
Air ini bermaksud susu badan atau susu formula yang sesuai dengan umur bayi. Jangan biarkan bayi dehidrasi! Ketika suhu mereka tinggi, mereka amat memerlukan air di dalam badan mereka. Jadi, Mama kena take note tau!
4) Bawa Ke Klinik atau Hospital Yang Berdekatan
Ini yang paling penting, jangan lambat-lambatkan perkara ini. Kalau suhu bayi masih tak turun, segera bawa bayi berjumpa doktor untuk mencegah perkara yang tak diingini berlaku.
Doktor pasti dapat merawat dan memberi rawatan yang sesuai untuk bayi Mama. Jangan pandai-pandai pula kita bagi ubat ikut suka hati kita tau! Nanti takut akan membawa padah pada si manja.
Cara-Cara Mencegah Demam Bayi Yang Wajib Kita Tahu
Cara berkesan untuk mencegah demam bayi adalah untuk kurangkan pendedahan bayi Mama kepada penyakit berjangkit.
Salah satu cara yang paling efektif dan paling mudah adalah kena selalu ingat untuk mencuci tangan dan kaki bayi dengan bersih apabila pulang daripada mana-mana.
Perkara ini sangat penting sebab terdapat banyak bakteria dan virus di luar jadi Mama harus sentiasa peka untuk membersihkan bayi setiap kali pulang ke rumah.
Mama juga boleh kurangkan bayi dari bersentuhan dengan mereka yang sedang sakit seperti demam, selesema atau batuk kerana bayi mudah untuk dijangkiti penyakit seperti itu.
Mama Papa Harus Lebih Peka Tentang Suhu Normal Bayi
Mama Siti galakkan Mama dan Papa untuk banyak membaca tentang suhu bayi supaya ilmu ini dapat membantu Papa Mama di luar sana untuk menjaga si bayi dengan lebih baik. Masih ramai yang tak tahu apakah suhu bayi yang sebenarnya dan cara untuk mengukur suhu.
Semoga bermanfaat!
Pesan Mama Siti
Harap-harap apa yang Mama Siti kongsikan dapat membantu Mama dan Papa untuk memahami tentang suhu badan bayi dan apa yang perlu dilakukan ketika bayi demam.