‘Ansei’, ‘zuoyuezi’, ‘la cuarentena’ dan ‘whakaweto maatua’ walaupun bunyinya berbeza namun mempunyai maksud yang sama iaitu berpantang selepas bersalin. Ternyata, amalan berpantang bukan je diamalkan oleh masyarakat di Malaysia namun ianya diamalkan oleh semua bangsa di dunia. Perbezaannya mungkin dari segi tempoh, amalan serta pantang-larangnya termasuk jenis ikan yang boleh dimakan dalam pantang.
Menurut bacaan di internet, Mama Siti dapati yang tempoh berpantang yang paling singkat adalah di Belanda iaitu di antara 8 hingga 10 hari. Kebanyakan negara seperti Afrika, Korea, Jepun, China serta Amerika Latin, tempoh berpantang adalah di antara 10 hingga 40 hari.
Bagi masyarakat Melayu tempoh amalan berpantang yang ditetapkan adalah 44 hari dan ianya menjadi amalan turun menurun. Tempoh ini adalah amat sesuai dan cukup untuk rahim mama kembali pulih seperti normal serta amalan berpantang ini termasuk dari segi aktivititi seperti mandian herba, berurut, bertungku dan yang paling utama adalah amalan pemakanan.
Bila bercerita tentang berpantang, pemakanan amat dititikberatkan. Mama semua perlu mengelakkan dari mengambil makanan yang dikatakan ‘sejuk’, ‘berangin’, ‘gatal’ dan juga ‘berbisa’ kerana ia dikatakan boleh melambatkan proses pengecutan rahim serta menjejaskan luka bersalin.
Sebenarnya, mama boleh je makan ayam, daging atau ikan, selagi cara masakannya dipantau dengan betul. Penggunaan herba seperti lada hitam, lada putih, biji halba, biji sawi dan sebagainya di dalam menu pemakanan mama juga membantu mempercepatkan proses pemulihan.
Ikan adalah sumber protein terbaik. Wanita yang berpantang dan menyusu badan digalakkan untuk mengambil protein yang lebih untuk memulihkan diri, memberi tenaga serta memperbanyak susu badan. Namun demikian, bukan semua jenis ikan yang boleh dimakan semasa berpantang. Mama kenalah berhati-hati dalam memilih pemakanan yang betul.
Jenis-jenis Ikan Yang Boleh Dimakan Dalam Pantang
Ada pelbagai jenis ikan yang boleh dimakan semasa berpantang. Sebaiknya, jenis ikan yang digalakkan diambil oleh mama semasa berpantang ialah jenis ikan yang mempunyai khasiat dan zat dalam membantu menyembuhkan luka dalaman serta luaran.
Antara ikan-ikan yang boleh menambahkan zat dan digalakkan untuk dimakan semasa tempoh berpantang ialah :
- Ikan haruan
- Ikan yu
- Ikan selar
- Ikan gelama
- Ikan jenahak
- Ikan merah
- Ikan tenggiri
- Ikan bawal putih
- Ikan kurau
- Ikan salmon
- Ikan senangin
- Ikan siakap
Ikan-ikan ini menjadi sajian popular sepanjang tempoh berpantang kerana selain dari mempunyai khasiat dan zat bagi membantu menyembuhkan luka dalaman serta luaran ianya juga berupaya memberikan tenaga kepada mama yang menyusukan bayi. Sebagai contoh, ikan salmon amat disarankan kerana mempunyai banyak khasiat. Ia mengandungi protein yang tinggi di mana dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka. Dalam masa yang sama, salmon juga diketahui mengandungi asid dokosaheksanoik (DHA) iaitu nutrien yang baik untuk otak bayi. Selain dari itu, salmon juga mengandungi zink yang dipercayai boleh melawan kemurungan selepas bersalin.
Walaubagaimanapun, ada juga jenis ikan yang tak boleh dimakan semasa berpantang.
Jenis Ikan Yang Tak Boleh Dimakan Dalam Pantang
Terdapat pelbagai variasi ikan dan juga cara masakan yang boleh diolah. Namun perlu diingatkan bahawa tak semua ikan boleh dimakan oleh mama yang berpantang. Ikan kering dan ikan masin merupakan yang paling mesti dielakkan!
Antara ikan yang menjadi a big NO ialah :
- Ikan keli
- Ikan bawal hitam
- Ikan terubuk
- Ikan duri
- Ikan pari
- Ikan sembilang
- Ikan kembung
- Ikan sardin
- Ikan tongkol
- Ikan parang
- Ikan tamban
Kesemua ikan-ikan di atas tak boleh dimakan kerana akan mengakibatkan gatal dan angin. Ini akan menyebabkan luka semasa bersalin lambat pulih. Selain dari itu ikan-ikan itu juga bersifat berbisa dan menyebabkan berlakunya bentan. Bentan amat ditakuti kerana membawa kesan-kesan sampingan seperti sakit urat, lemah dan menggigil kesejukan walaupun cuaca panas.
Resepi Makanan Pantang Berasaskan Ikan
Sering kali ibu2 yang berpantang dihidangkan dengan masakan yang berasaskan sup, kukus dan bakar. Sekiranya ini je menu sepanjang 40 hari berpantang tentu tekak jadi muak. Apa kata mama-mama cuba pula hidangan ikan masak asam. Rasanya yang sedikit masam dan pedas akan membangkitkan selera ibu. Ikan yang sesuai adalah ikan tenggiri, ikan jenahak mahupun ikan siakap.
#1 Ikan masak asam
Bahan-bahan:
- Ikan – digaram kunyitkan
- Bawang putih – dihiris
- Bawang merah – dihiris
- Halia – dihiris
- Biji sawi
- Air asam jawa
- Lada hitam – diketuk-ketuk kasar
- Garam
Cara penyediaan:
- Gorengkan ikan yang telah digaramkunyitkan.
- Setelah itu ketepikan dan tumiskan bahan hiris serta biji sawi dengan minyak gorengan ikan tadi sehingga naik bau.
- Setelah itu masukkan air asam jawa dan lada hitam. Air asam jawa tidak perlu banyak kerana kalau terlalu cair ia tak enak.
- Masukkan garam mengikut kesesuaian.
- Masukkan semula ikan tadi dan biarkan ia mendidih.
- Angkat dan hidangkan. Sedap dimakan ketika panas-panas.
Pemakanan yang seimbang amat perlu semasa ibu-ibu menjalani proses berpantang. Selain dari ianya untuk kebaikan bagi memastikan mama-mama dapat pulih serta memperolehi tenaga dengan kadar segera. Pemakanan seimbang juga penting kerana impak pemakanan ibu akan memberi kesan terhadap penyusuan bayi. Mama-mama dinasihatkan untuk bersabar sepanjang tempoh 44 hari demi kebaikan bersama. Kita adalah apa yang kita makan!!
Semoga bermanfaat!
BACA JUGA IDEA MENU HARIAN KETIKA BERPANTANG
Pesan Mama Siti
Apa pun masa kita berpantang ni lah kita kena jaga pemakanan kita sebaiknya. Badan kan nak pakai lama. Kalau kita makan ikut nafsu kita akan datang kita juga yang rasa kesannya. Nanti belum apa-apa dah sakit itu ini hehe.