Jika anda melihat sekeliling anda, pasti anda perasan bahawa setiap manusia mempunyai bentuk tubuh yang berbeza. Ada yang kurus, ada yang tinggi, ada yang gempal dan macam-macam lagi. Adakah anda sendiri tahu bagaimana bentuk tubuh anda? Kalau tidak, mulakan sekarang dan kenali bentuk tubuh sendiri kerana dengan mengetahuinya, anda akan mendapat pengetahuan bagaimana cara untuk tampil bergaya dan menawan bersesuaian dengan bentuk tubuh anda. Perkembangan fesyen pada masa kini membolehkan sesiapa sahaja untuk tampak bergaya dan elegan, tidak kira bagaimana pun bentuk tubuh.
- BENTUK SEGI TIGA ATAU ‘PEAR’
Bentuk tubuh ini adalah bentuk yang biasa dimiliki oleh seorang wanita. Bahagian pinggul adalah lebih besar daripada bahagian dada. Sekiranya anda tergolong dalam bentuk tubuh ini, berikut adalah tips pemakaian yang sesuai untuk anda:
•Pilih pakaian yang mempunyai pelapik bahu yang kecil/tanpa pelapik agar bahagian bahu kelihatan lebih luas. Ini adalah penting untuk mengimbangi bahagian pinggul yang besar.
•Elakkan memakai skirt labuh dan blaus yang terlalu labuh agar anda tidak kelihatan lebar. Pemakaian jaket bersama skirt atau seluar yang ketat di bahagian pinggul hendaklah dielakkan.
•Untuk warna pula, pakaian bahagian atas hendaklah berwarna cerah dan pada bahagian bawah pula berwarna gelap. Tips ini adalah menumpukan kepada bahagian atas badan, bukan bahagian pinggang dan ke bawah.
- BENTUK SEGI TIGA TERBALIK
Bentuk tubuh yang turut menjadi idaman para wanita. Wanita dengan bentuk tubuh seperti ini mempunyai bahagian atas badan yang lebih besar daripada bahagian bawah. Berbeza seperti mereka yang mempunyai badan berbentuk segi tiga biasa, pemakaian di bahagian atas perlu diminimumkan. Berikut adalah tips pemakaian yang tepat untuk wanita dengan bentuk tubuh ini:
•Pilih skirt yang bergaris A, bertekstur garang dan juga corak bergaris mendatar untuk menyeimbangkan bentuk tubuh. Anda juga disarankan menggunakan seluar labuh/palazzo.
•Untuk pakaian bahagian atas, pakai blaus yang berkolar luas. Pilih corak pakaian dengan garis menegak dan fabrik yang bertekstur halus.
•Dari segi warna pakaian pula, pilihlah warna-warna yang gelap atau neutral untuk bahagian atas badan. Elakkan juga daripada memakai pakaian yang mempunyai corak menyerlah.
BENTUK ‘HOUR GLASS’ ATAU JAM PASIR
Satu bentuk tubuh idaman setiap wanita dan boleh dikategorikan sebagai bentuk badan yang sempurna. Wanita dengan bentuk tubuh ini mempunyai ukuran dada dan pinggul yang hampir sama ataupun dalam kata lain adalah seimbang. Perbezaan di antara ukuran pinggang dengan dada dan pinggulnya adalah lebih kurang 25 sentimeter (10 inci) kecilnya. Untunglah sekiranya anda mempunyai bentuk tubuh seperti ini kerana anda boleh memilih apa-apa sahaja pakaian serta fesyen kegemaran dan masih tampak menawan dan jelita. Untuk menyerlahkan lagi bentuk tubuh yang sempurna itu, pakailah pakaian dari jenis fabrik yang lembut dan beralun. Dari segi pemilihan warna pula, kebanyakan warna adalah sesuai.
BENTUK ‘DIAMOND’ ATAU BERLIAN
Wanita yang mempunyai bentuk tubuh seperti ini dicirikan dengan bahagian pinggul atau perut yang agak besar berbanding dengan bahagian dada. Sekiranya anda tergolong dalam kategori bentuk tubuh ini, berikut adalah tips yang sesuai untuk anda amalkan:
•Agar tubuh kelihatan lebih kurus, elakkan daripada memakai pakaian berwarna terang dan mempunyai corak yang menyerlah. Pilih warna pakaian yang gelap dan corak yang sederhana.
•Pemakaian aksesori labuh di bahagian leher juga dapat membantu anda kelihatan lebih kurus.
•Sekiranya anda ingin memakai gaun, pilih gaun tanpa pinggang. Pemakaian vest yang terbuka juga turut membantu anda tampak lebih kurus.
BENTUK BUJUR TELUR
Bagi wanita yang mempunyai bentuk badan seperti bujur telur, berikut adalah tips pemakaian yang sesuai untuk anda. Amalkan agar anda tampil menarik dan cantik dengan pakaian yang tepat.
•Pilih pakaian yang mempunyai garis leher berbentuk V, mempunyai corak garis menegak dan motif geometri yang sederhana.
•Pilih warna yang neutral daripada gelap sehingga sederhana.
•Anda juga disarankan memakai kasut bertumit sederhana tinggi.
•Tambahan penggunaan aksesori yang berwarna-warni akan membantu untuk mengalih perhatian dari bentuk tubuh anda.
BENTUK SEGI EMPAT
Bentuk tubuh seperti ini bercirikan seseorang yang mempunyai garis pinggang yang kecil ataupun langsung tidak mempunyai pinggang. Untuk tampil menarik dan anggun dengan pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuh seperti ini, berikut adalah tips untuk anda:
•Pilih pakaian bahagian atas yang berlapik bahu dan daripada fabrik lembut.
•Pemakaian vest ataupun jaket juga disarankan.
•Seluar dan baju janganlah terlalu ketat dan pilihlah baju dengan rekaan lebih pada bahagian bahu untuk kelihatan lebih cantik.
•Pilih baju yang berkolar dan tambahkan penggunaan aksesori di leher seperti rantai.
•Dari segi pilihan warna, rona senada adalah paling sesuai untuk mereka dengan bentuk tubuh seperti ini.