Mama mungkin dah biasa mendengar stigma ‘anak kedua’ atau lebih dikenali dengan ‘middle child syndrome’. Kita sering digambarkan dengan perangai anak kedua yang ‘unik’ dan sering menguji kesabaran Mama Papa. Tapi ramai yang tak tahu dari posisi positifnya yang selalu kita terlepas pandang tentang fakta anak kedua ni?
Ramai yang berpendapat anak kedua berperangai sedemikian kerana kurang perhatian dan kasih sayang dari Mama Papa berbanding dengan anak sulung dan anak bongsu. Walaupun tiada kajian sains yang mengesahkan perihal stigma ‘middle child syndrome’ ini, pakar psikologi tak menafikan bahawa anak kelahiran kedua di dalam keluarga mempunyai ciri-ciri yang unik dan menarik yang menampilkan keperibadian mereka.
Ada di antara mereka yang menjadi ikon dunia seperti Mark Zuckerberg, Dr Martin Luther King, J Lo dan mendiang Princess Diana adalah anak kedua di dalam keluarga mereka.
Benarkah anak kedua ini sering membawa masalah dan sentiasa terjebak dalam konflik? Benarkah anak kedua ini lebih kasar berbanding dengan adik-beradik yang lain? Sebenarnya, anak kedua ini sangat unik orangnya. Apakah yang membuatkan anak kedua ini unik? Mama Siti kongsikan fakta menarik mengenai anak kedua dan apa yang membuatkan mereka seorang yang hebat.
Fakta Anak Kedua Yang Perlu Kita Tahu
1. Lebih berdikari
Berbanding dengan adik-beradik yang lain, anak kedua ni adalah anak yang paling berdikari dan mampu menguruskan diri sendiri.
Anak kedua akan belajar untuk menguruskan diri daripada contoh yang diberi oleh kakak dan abangnya. Mereka mudah mengikut maka acuan abang dan kakak mestilah dibentuk dengan betul untuk menjadi tauladan yang baik untuk adik-adik.
2. Tak mudah putus asa
Semangat anak kedua yang memang lebih kompetitif berbanding adik-beradik yang lain membuatkan mereka lebih tabah dalam melakukan sesuatu perkara.
Anak kedua tak mudah berputus asa dan menyerah kalah dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Malah, mereka sangat tabah dan bekerja keras bagi memastikan sesuatu tugasan dan impian mereka dipenuhi.
3. Sentiasa berfikir di luar kotak
Mungkin ada Mama yang di luar sana yang pernah tak terkata dengan tingkah laku anak kedua yang berbeza dengan adik-beradik mereka yang lain. Ini kerana kebanyakan anak kedua sangat kreatif dan sentiasa mencetuskan idea yang unik.
Anak kedua mampu berfikir di luar kotak untuk mencari jalan penyelesaian untuk sesuatu masalah atau pun sekadar ingin menghiburkan hati mereka. Mama kenalah sentiasa positif dan bantu anak kedua ini untuk berfikir lebih ke arah kebaikan dan menguntungkan diri serta keluarga.
4. Mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi
Berbeza dengan adik-beradiknya yang lain, anak kedua mempunyai semangat inkuisiti yang tinggi. Perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi hingga mencetuskan idea-idea yang di luar pemikirian.
Semangat ingin tahu ini akan menghasilkan dopamin dalam otak dan membuatkan mereka gemar menerokai sesuatu perkara yang dengan lebih mendalam. Ini akan menjadikan anak kedua sangat mencintai dan menghargai ilmu dan membentuk mereka menjadi orang yang berilmu.
5. Mudah bertoleransi
Anak kedua lebih mudah disukai oleh orang sekeliling kerana sifat toleransi mereka yang tinggi. Mereka tak terlalu menggilai kuasa dan tak pula meninggalkan tanggungjawab jika diamanahkan. Anak kedua mudah untuk dibawa berbincang dan sentiasa berfikiran terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan orang ramai.
6. Anak kedua berani mengambil risiko
Kebanyakkan anak pertama dan anak bongsu lebih selesa dengan sesuatu mengikut kemampuan yang ada. Berbeza dengan anak kedua, mereka lebih berani mengambil risiko yang belum tentu kesudahannya.
Keberanian yang ada di dalam diri mereka inilah yang menghidupkan mereka dan membuatkan mereka berjaya dalam menyusun kehidupan mereka. Anak kedua mampu mencetuskan sesuatu yang mungkin belum lagi diterokai orang ramai kerana mereka berani menghadapi kegagalan dan akan sentiasa berusaha untuk berjaya.
6. Anak kedua seorang ketua yang berkarisma
Kebanyakkan Presiden Amerika adalah terdiri daripada anak kedua termasuklah Presiden Abraham Lincoln. Ini adalah kerana anak kedua mampu menjadi seorang ketua yang berkarisma dan disegani disebabkan kepintaran mereka. Antara fakta anak kedua ialah bijak menguruskan pasukan, malah sesebuah negara, dan mampu mendelegasikan tugasan mengikut bidang-bidang tertentu di dalam ahli pasukannya.
7. Berfikiran terbuka
Anak kedua sering menjadi tumpuan utama jika berlakunya konflik kerana mereka cenderung untuk menjadikan diri mereka seorang yang sering membawa masalah. Mungkin ada benarnya kerana semangat ingin tahu mereka yang tinggi kadang-kadang membawa kepada kerosakan dan sebagainya.
Namun demikian, pengalaman-pengalaman sedemikianlah yang membuatkan anak kedua ini lebih berfikiran terbuka dalam mencuba sesuatu yang baru, mengadili sesuatu permasalahan dan menyelesaikan konflik.
8. Suka membantu orang
Mungkin anak kedua seorang yang kurang empatinya berbanding dengan anak yang lain. Mereka mungkin tak faham kenapa abang atau kakak serta adik-adik diberi kelebihan atas sesuatu perkara. Tetapi, mereka sentiasa bersedia untuk membantu apabila ada yang memohon bantuan. Anak kedua suka melakukan kerja-kerja amal dan sukarelawan kerana sifat mereka yang suka membantu orang.
9. Seorang perunding yang cekap
Disebabkan kebolehan mereka berfikir di luar kotak membuatkan mereka lebih bersedia dalam menyuarakan hujah dan pendapat. Ini membuatkan mereka seorang perunding yang cekap. Ciri-ciri ini membuatkan mereka sentiasa berjaya mendapatkan apa yang mereka inginkan dalam sesuatu perundingan.
10. Anak kedua lebih cantik dan menarik
Akhir sekali, mungkin ramai yang bersetuju yang anak kedua selalunya lebih cantik serta berperwatakan menarik dari segi zahir dan aura yang dibawa mereka. Kebanyakan mereka adalah seorang yang sentiasa menjaga diri dan mahukan perhatian orang sekeliling. Ini membuatkan mereka mampu menampilkan kesegakan dan kesantunan mereka ketika bergaul dengan orang ramai.
Sebenarnya semua anak yang dianugerahkan kita itu berbeza dan cukup sempurna untuk kita. Jumlah masa yang diluangkan antara seorang anak dengan anak yang lain bukanlah pengukur kasih sayang seorang Mama atau Papa kepada anaknya. Seimbangkan segalah kelemahan dengan mengukuhkan kekuatan di dalam diri. Pandulah anak-anak yang masih mencari hala tujuan di dalam kehidupan agar terarah ke jalan yang sepatutnya. Tiada siapa yang lahir di dunia ini sempurna, tetapi percayalah, setiap insan itu adalah yang sebaik ciptaan dari Yang Esa.
BACA JUGA 5 FAKTA ‘MIND BLOWING’ ANAK-ANAK YANG KIDAL!
Pesan Mama Siti
Setiap anak-anak berbeza sifatnya, berbeza perwatakannya. Kita sebagai Mama Papa kenalah layan dan didik anak-anak seadil mungkin supaya salah seorang mereka tak rasa perbezaannya.