Mama mesti risau bila dengar nafas bayi berbunyi kuat seperti ada benda yang menyempitkan saluran pernafasannya kan? Tambahan pula bila di musim macam-macam virus sekarang ni. Sebenarnya, bayi berkahak itu normal. Walaupun ia normal tapi tak boleh dibiarkan begitu je. Pasti ada cara hilangkan kahak bayi.
Untuk pengetahuan mama, antara sebab utama bayi berkahak adalah kerana alahan dengan persekitaran, serangan virus, kualiti udara yang tak bagus, dan cuaca yang terlalu sejuk ataupun panas. Tapi ada juga disebabkan keadaan kesihatan sejak lahir yang menyebabkan bayi berkahak. Keadaan macam ni selalunya dapat dikesan oleh pakar pediatrik untuk penjagaan lanjutan.
Bila bayi berkahak ia akan membuatkan hidungnya tersumbat. Ia akan menghalang bayi untuk bernafas dengan baik dan sukar untuk menghisap susu ibu kerana bayi tak tahu bagaimana hendak bernafas melalui mulut. Mukus yang berkumpul juga boleh menyebabkan debu, kuman dan bakteria berkumpul dan membuatkan bayi jatuh sakit.
Jadi, apa yang mama boleh lakukan untuk mengurangkan keadaan bayi berkahak ni? Di sini Mama Siti kongsikan beberapa cara hilangkan kahak bayi. Mama bolehlah cuba cara ni, kot-kot lega sikit kahak si manja tu.
Cara Hilangkan Kahak Bayi Yang Boleh Mama Cuba
#1 Posisi Tidur Yang Lebih Tinggi
Kebiasaannya, bayi lebih selesa tidur tak berbantal. Bagi bayi yang berkahak, mama digalakkan meletakkan posisi kepala si manja lebih tinggi supaya tidur bayi tak terganggu. Ia juga akan melancarkan pernafasan bayi.
#2 Minyak Bawang Putih
Bawang putih mempunyai antibodi semulajadi dan membantu menyokong peredaran darah dan kandungan gula dalam badan. Ia mempunyai enzim yang boleh merawat radang dan alahan yang menyebabkan batuk dan selsema.
Jika si bayi memhadapi masalah kahak, mama boleh cuba untuk membuat minyak bawang putih dan disapukan di tapak kaki si manja.
Cara membuat : Cara nak buat minyak bawang putih pun mudah je. Bakar seulas dua bawang putih di atas api, tumbuk dan rendamkan dengan minyak zaitun (olive oil). Kemudian, lumurkan minyak zaitun dan bawang putih itu di telapak kaki bayi.
Insyaallah, ianya dapat membantu melegakan hidung berhingus dan kahak.
#3 Penggunaan Titisan Cecair Bergaram / Saline Drop
Menitiskan saline drop atau air bergaram digunakan untuk melegakan hidung yang tersumbat akibat selesema. Ia akan mencairkan mukus dan sekaligus mengurangkan pembentukan kahak bayi.
Mama perlulah berhati-hati dalam menggunakan saline drop ini. Mula-mula, mama hendaklah baringkan bayi dalam keadaan telentang dan tinggikan dada dengan meletakkan kain di bawah bahu bayi.
Kemudian, titiskan air garam ke dalam hidung dah biarkan selama 30 hingga 60 saat sebelum mama tiarapkan bayi untuk mengeluarkan hingus atau cecari lebihan dari dalam hidung. Bersihkan hidung dengan tisu atau kain. Bukan dengan putik kapas ye.
#4 Penggunaan Aspirator Hidung
Aspirator hidung adalah alat yang dapat membantu mama menyedut mukus yang berkumpul di hidung hingga boleh menyebabkan bayi berkahak. Penggunaan aspirator hidung ini agak mudah.
Mama cuma perlu memasukkan hujung tiub ke dalam hidung. Masukkan hujung aspirator ke dalam hidung bayi, tetapi tak terlalu dalam kerana ia boleh mencederakan hidung bayi. Picit keluar udara di dalam aspirator perlahan-lahan dan picit semula untuk membenarkan mukus di dalam hidung disedut keluar. Lepaskan mukus yang dikumpulkan pada tisu.
Mama kena sentiasa mencuci aspirator setiap kali sebelum menggunakannya dan selepas menggunakannya.
#5 Terapi Tepukan Percussion
Tepuk Percussion juga merupakan salah satu cara hilangkan kahak bayi. Teknik ini mengaplikasikan tepukan di belakang bagi mencairkan mukus yang berkumpul di paru-paru bayi yang menyebabkan kahak. Daripada tepukan yang dilakukan dengan teknik yang betul akan membuatkan bayi terbatuk dan sekaligus mengeluarkan kahak di dalam rongga pernafasan. Ia meluaskan ruang udara yang tersumbat dan melegakan pernafasan.
Sebelum melakukan teknik ini, mama digalakkan memakaikan bayi dengan pakaian atau melapik dengan selimut. Jangan melakukan tepukan pada belakang bayi yang tak bertutup. Letakkan bayi di atas permukaan tebal seperti atas tilam, bantal ataupun peha mama yang diletak dengan selimut tebal. Seeloknya, mama menggunakan percussion cup untuk menepuk perlahan-lahan. Mama juga boleh menggunakan tapak tangan yang ditutup rapat dan membentuk tangan seperti cupping. Tepuk dengan perlahan dan konsisten.
#6 Beri Bayi Minum Air Yang Banyak
Bayi yang berkahak cenderung menghadapi masalah dehidrasi. Mama digalakkan untuk menambah pengambilan kuantiti air jika bayi menunjukkan simptom berkahak dan selesema. Jika bayi yang menyusu badan, banyakkan memberinya minum susu. Untuk bayi yang dah bercampur susu atau minum susu formula 100%, Mama hendaklah menambah kuantiti air suam bagi memastikan suhu badan bayi stabil.
#7 Lumur Kunyit Hidup
Kunyit hidup juga adalah satu sumber semulajadi yang boleh mama gunakan untuk melegakan bayi berkahak dan berhingus. Kunyit hidup mempunyai kompaun yang dinamakan ‘curcumin’ yang membantu melarutkan mukus di dalam badan. Ia membantu melegakan kahak dan membunuh bakteria yang menyebabkan batuk selesema.
Cara membuat : Untuk menggunakan kunyit hidup, mama hendaklah membakarnya di atas api terlebih dahulu. Kemudian gesekkan pada lesung batu sehingga keluar ekstrak kunyit. Ambil ekstrak kunyit itu dan lumurkan pada batang hidung dan dada bayi.
#8 Lulur Daun Kaduk
Daun kaduk juga adalah antara pokok herba yang yang popular di Asia yang digunakan dalam ubat-ubat tradisional. Analisa kimia menunjukkan daun kaduk mengandungi anti-oksida yang tinggi dan dapat melegakan batuk berkahak dan selesema.
Cara membuat : Mama cuma perlu mengambil beberapa helai daun kaduk dan sedikit kapur. Campurkan di dalam semangkuk air suam dan ramas-ramas. Kemudian, lulurkan campuran daun kaduk dan kapur yang telah diramas itu di bahagian dada, leher dan belakang bayi.
#9 Stim Bawang Putih
Stim boleh membuka rongga pernafasan dan melegakan bayi berkahak. Ia juga cara hilangkan kahak bayi tapi mama mestilah berhati-hati apabila hendak mengamalkan petua ini.
Cara membuat : Sediakan semangkuk air panas dan letakkan di lantai sementara mama duduk di atas kerusi serta tiarapkan bayi di pangkuan. Wapkan bayi dengan jarak yang sesuai. Kalau hendak lagi berkesan, mama boleh tumbuk seulas dua bawang putih dan masukkan ke dalam mangkuk air panas itu. Ia membantu mencairkan hidung yang tersumbat dan membantu bayi mengeluarkan hingus cair dengan mudah.
#10 Gunakan Nebulizer Cara Hilangkan Kahak Bayi
Jika bayi berhingus dan berkahak dalam suatu masa yang berpanjangan, seperti lebih dari seminggu, mama dinasihati untuk mendapatkan rawatan di hospital kanak kanak. Doktor boleh membantu dengan memberi rawatan yang sesuai. Kebiasaannya, ubat tak diberi untuk bayi yang berumur 2 tahun ke bawah tapi di klinik mama boleh mendapatkan rawatan menggunakan gas nebulizer untuk mencairkan kahak dan melegakan pernafasan bayi.
Semoga membantu!
BACA JUGA PETUA HILANGKAN BATUK ANAK RESEPI UBAT BATUK HOMEMADE
Pesan Mama Siti
Di kala pendemik Covid-19 ini masih belum reda lagi, pasti ramai mama di luar sana sangat risau bila bayi kurang imunisasi diserang batuk berkahak dan selesema. Bayi terlalu sensitif dengan keadaan persekitaran dan antibodi badan masih belum kuat menyebabkan mereka mudah dijangkiti. Jadi, mama hendaklah sentiasa peka dalam memerhatikan batuk selesema si kecil itu hanya sekadar batuk biasa atau pun jangkitan kuman yang perlukan rawatan pakar. Mama Siti doakan kita semua dilindungi dari segala wabak penyakit.