Ramai ibu bapa yang mudah resah bila suhu badan bayi mula meningkat dan menunjukkan tanda-tanda nak demam. Tambahan pula, di musim pandemik COVID-19 ini. Ibu mana yang tak resah bila tengok si manja monyok tak bermaya, kan?
Memang kebanyakan bayi mudah kena demam. Kalau ikut petua orang tua-tua dulu, bayi demam sebab ‘nak pandai’ atau ‘beralih bulan’.
Sebenarnya, demam adalah satu proses tindakbalas badan untuk melawan jangkitan di dalam badan. Bayi yang dilanda demam menandakan badannya sedang aktif menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan. Demam itu sendiri bukannya satu penyakit, malah ia perlu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan bayi.
Suhu Bacaan Bayi Demam
Berapa kerap Mama akan mengambil suhu badan bayi? Setiap hari, seminggu sekali atau hanya akan mencari termometer bila si manja mula letih dan suhu badan agak suam-suam panas?
Suhu badan bayi sebenarnya berubah-ubah mengikut umur, aktiviti dan waktu suhu diambil. Bayi lebih cenderung untuk mempunyai suhu lebih tinggi dari kanak-kanak biasa. Suhu badan yang diambil di waktu tengah hari lebih tinggi berbanding suhu yang diambil di awal pagi atau lewat malam.
Suhu bacaan normal untuk seorang bayi adalah antara 36.5°C and 37.5°C. Jika suhu badan bayi melebihi 38°C menandakan bayi demam. Mama hendaklah sering memantau suhu badan jika suhu badan bayi melebihi daripada suhu normal.
Suhu bacaan yang paling tepat untuk bayi adalah melalu rektumnya. Namun demikian, jika Mama tak yakin untuk mengambil suhu dengan cara itu, Mama boleh juga menyukat suhu badan di bawah ketiak atau di bawah lidah.
Punca Bayi Demam
Ada banyak punca yang menyebabkan bayi demam. Antara sebab si manja jatuh sakit hingga suhu badan meningkat dan demam adalah:
- Jangkitan kuman
- Immunisasi
- Tumbuh gigi (teething)
- Pemakaian berlebihan (overdressing)
Bayi cenderung untuk mendapat jangkitan kuman di tekak, paru-paru, telinga dan sebagainya. Ia adalah di antara simptom yang akan Mama perhatikan selain daripada batuk selsema, flu, tekak kemerahan dan gangguan pernafasan. Badan memerlukan tenaga yang banyak untuk menghasilkan antibodi bagi melawan jangkitan, sehingga menyebabkan bayi demam.
Kebanyakan bayi dan kanak-kanak juga akan jatuh sakit setelah diberi suntikan imunisasi. Selalunya, demam yang dialami adalah demam gred rendah. Ia adalah reaksi badan bertindakbalas dengan vaksin yang disuntik.
Ada juga bayi yang akan demam kerana tumbuh gigi. Badan bayi sedang cuba untuk mengadaptasi dengan keadaan yang ‘baru’ itu hingga menyebabkan suhu badan meningkat daripada biasa. Tetapi bayi yang demam kerana tumbuh gigi selalunya tak membimbangkan dan suhu badan taklah terlalu tinggi.
Mungkin ada Mama yang tak tahu bahawa bayi, terutamanya yang baru lahir, akan demam bila dipakaikan pakaian yang tebal di cuaca yang panas. Ini adalah kerana badan bayi masih belum mampu untuk mengatur suhu badan dengan keadaan sekeliling sehinggakan cuaca terlalu panas atau berbalut dengan pakaian tebal boleh menyebabkan bayi jatuh sakit.
Tanda-tanda Si Manja Demam
Apabila si manja mula demam, itu bukanlah tanda si manja baru jatuh sakit. Malah, ia adalah tanda-tanda terakhir yang muncul jika anak-anak dijangkiti kuman dan sebagainya.
Walaupun tanda-tanda bayi demam mungkin berbeza antara satu sama lain, ada beberapa tanda yang boleh Mama perhatikan untuk memantau keadaan dan kesihatan bayi. Antaranya ialah:
- Menggigil
Demam boleh membuatkan bayi menggigil kesejukan, padahal suhu badannya meningkat. Jika si manja mula menggigil, periksa suhu badan bayi dan pakaikan pakaian yang sesuai serta perudaraan persekitaran yang selesa untuk bayi.
- Kelihatan panas dan kemerahan
Ada masanya si bayi akan kelihatan panas kemerahan dan resah gelisah. Mama boleh memberi bayi air dan jus bagi mengurangkan panas di dalam badan.
- Resah dan monyok
Bayi yang tak henti menangis walaupun sudah ditukar lampinnya yang basah atau pun sudah kenyang mungkin dijangkiti kuman dan demam. Kadang-kadang, suara bayi akan bertukar kerana kerap menangis dalam jangka masa yang panjang. Ini juga antara tanda-tanda bayi tak sihat.
- Letih lesu
Selain itu, ada juga bayi yang kelihatan letih dan lesu serta tidur sepanjang hari kerana tak bermaya melawan demam yang melanda. Mama pasti dapat megenali bila mana si manja tidur kerana keletihan bermain atau pun sebab demam.
- Suhu badan yang tinggi
Ini adalah tanda ketara bayi dilanda demam. Jika Mama tak menyimpan termometer di rumah, Mama boleh menggunakan sentuhan kulit untuk merasakan tahap suhu badan bayi. Jika ianya panas daripada biasa, Mama mungkin ingin mengesahkan bayi demam atau tak di klinik berdekatan.
Bila Mama Perlu Risau dan Bila Perlu Bertenang
Kebiasaannya, bayi mudah jatuh sakit dan sistem badannya akan membuatkan bayi sihat semula dalam jangka masa singkat antara 2 hingga 3 hari.
Mama tak perlu risau sangat jika ada peningkatan suhu badan bayi tetapi dia masih makan dan minum seperti biasa, bermain dengan aktifnya, dan masih peka dengan keadaan sekeliling seperti senyum apabila diagah.
Namun begitu, jika si manja Mama masih bayi dan suhu badannya meningkat sehingga 38°C atau kanak-kanak yang lebih berumur yang bersuhu badan mencapai 39°C, Mama dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan pakar.
Selain daripada itu, jika si manja kelihatan terlalu lesu dan tak mahu minum air, cirit-birit atau muntah-muntah, kencing dengan kerap walau tak minum air yang banyak, mengadu sakit telinga atau tekak, demam melebihi 3 hari dan kerap demam, kulit menunjukkan tanda alahan, bengkak-bengkak atau merah-merah adalah antara tanda-tanda yang memerlukan Mama untuk segera dapatkan rawatan perubatan.
Petua Menurunkan Suhu Badan Bayi Demam
Ada banyak petua dan tip-tip yang boleh Mama amalkan untuk mengurangkan atau meredakan demam si manja. Yang pastinya, ubat dari doktor yang bertauliah antara usaha yang selamat dan terbukti membantu bayi untuk reda dari demam.
Selain itu, seperti yang dikongsikan oleh angkasawan negara kita iaitu Datuk Dr Sheikh Muszaphar di dalam perkongsiannya di ruangan sosial media Instagram, ternyata dapat membantu Mama menenangkan si manja yang demam.
Datuk Dr Sheikh Muszaphar menasihati untuk Mama menanggalkan baju anak dan letakkan tuala basah yang direndam dalam air suam di badan dan kepala bayi untuk mengurangkan suhu badan bayi. Mama kena teruskan menyusu bayi atau memberi si manja minuman yang banyak serta letakkan dia di dalam bilik yang selesa dan nyaman supaya bayi dapat banyak berehat. Asingkan bayi dengan adik-beradik lain supaya kuman tak berjangkit. Jika suhu badan masih tak reda dan berpanjangan, Mama kena pergi dapatkan rawatan segera.
Bayi atau kanak-kanak demam pasti akan merengek dan tak bermaya. Mama kena banyak bersabar dan cuba sebaik mungkin untuk memantau dan merawat si manja. Belaian kasih mesra dan waktu yang Mama luangkan semasa merawat si manja pastinya akan dirasai dan membantu untuk bayi sembuh dengan segera.
Semoga bermanfaat!
BACA JUGA JANGAN PANDANG RINGAN BILA BAYI DEMAM. IA BOLEH MENGUNDANG BAHAYA!
Pesan Mama Siti
Si manja demam itu biasa tapi kalau suhunya melebihi dari yang sepatutnya atau badan jadi panas sangat cepat-cepatlah bawa ke klinik atau hospital untuk rawatan sebelum terlewat. Apa-apa pun kita kena sentiasa pantau suhu badan si manja terutamanya ketika si manja demam. Jangan tunggu anak dah tak bermaya dan dehidrasi baru nak bertindak pula ya.