Sekarang ni, anak-anak sekecil dua tahun saja pun dah pandai godek-godek smartphone, iPad dan sebagainya. Kadang-kadang tu disebabkan teknologi yang semakin canggih ni juga, anak-anak jadi malas nak membaca buku. Mereka lebih memilih teknologi daripada buku fizikal.
Hmm macam mana nak terapkan minat membaca buku dalam anak-anak ye? Walaupun ibu bapa penat bekerja di siang hari, mama dan papa tetap kena cuba luangkan masa bersama anak-anak sebelum mereka tidur.
5 Tips Untuk Kembalikan Minat Anak-Anak Membaca Buku
1- Jadikan Amalan Harian
Tiap malam, sebelum mereka tidur, ajar anak-anak untuk membaca buku. Tak kisah lah buku apa pun. Jauhi mereka daripada alat elektronik, smartphone dan sebagainya. Mama dan papa harus duduk bersama dan baca buku dengan mereka.
Bila dah jadi amalan setiap hari, anak mama sendiri yang akan ajak mama untuk baca buku bersama mereka. Selain dapat menerapkan amalan membaca, anak-anak juga akan lebih cepat tidur.
2- Kebebasan Dalam Memilih Buku
Anak-anak kita mesti ada satu buku yang menjadi kegemaran mereka bukan? Walaupun hampir setiap malam anda berdua baca buku yang sama, tapi anak kita pasti akan tetap pilih satu buku tu je. Sampai mama pun dah boleh hafal setiap perkataan dalam buku tu.
Biar je anak kita macam tu tau. Sebab buku itulah yang buatkan mereka rasa terhibur, tenang dan ingin membaca. Mungkin untuk pilihan pertama, biarkan dia sendiri pilih buku yang dia suka untuk dibaca bersama. Kalau dah masuk buku kedua atau ketiga, mama pula yang tolong pilihkan. Baru lah banyak buku boleh dihabiskan dalam masa seminggu.
3- Tempat Membaca Yang Sesuai
Pilih ruang dan suasana bacaan yang sesuai. Selain bilik tidur dia sendiri, mama boleh cuba alternatif lain. Tempat membaca haruslah jauh dari ruang tamu atau ruang menonton. Cari tempat yang tenang dan senyap agar anak mama tak mudah terganggu semasa membaca nanti.
Kalau anak mama mula buat perangai sampai nak masuk bilik tidur pun susah, mama boleh cuba hasilkan satu sudut atau bilik khas untuk membaca. Hiaskan bilik tersebut dengan beberapa bantal kecil, pencahayaan yang sesuai dan sediakan buku-buku yang bakal jadi pilihan untuk dibaca malam tu.
4- Beli buku yang meningkatkan deria sentuh mereka
Selain buku-buku biasa, mama juga boleh ajar anak-anak membaca buku daripada pelbagai material lain seperti plastik, kain atau cardboard. Lagi baik kalau mama belikan buku yang dapat merangsang deria sentuh dan penglihatan mereka, seperti buku flip-flap.
5- Beri Alasan Yang Bijak Dan Kreatif
Biasalah, dah nama pun anak-anak. Pelbagai ragam dan kerenah tiap hari. Ada saja malam yang susah sangat nak ajak dia baca buku macam biasa. Nak tengok Didi & Friends saja.
Dalam keadaan macam ni, Mama harus pandai dalam memberi alasan macam mana nak ajak anak-anak masuk bilik dan membaca bersama. Tak perlu marah-marah dan paksa mereka. Hanya gunakan sedikit kreativiti dalam alasan mama. Contohnya:
“Sekarang ni pun waktu tidur Didi tau. Didi pun dah nak tidur. Esok siang Didi bangun, kita sambung tengok Didi ye.“
Mama dan ayah dekat luar sana boleh cuba tips-tips ni untuk terapkan nilai membaca buku dalam anak-anak ye. Kalau mereka dah terbiasa dengan alat elektronik, jangan terus completely paksa mereka untuk tidak menggunakan gadjet-gadjet tersebut. Cuba tetapkan tempoh masa yang sesuai untuk mereka menggunakan gadjet atau menonton televisyen.
Biarkan mereka terbiasa sejak kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sumber: thezuriat
BACA JUGA RASA SAYANG – BUKU LAGU RAKYAT KANAK-KANAK TEKAN-BUTANG BERBAHASA MALAYSIA PERTAMA DI NEGARA
Membaca itu satu proses yang panjang. Ia sangat kompleks dan tak datang secara natural. Anak mama perlukan rangsangan dan bantuan untuk mula balik minat membaca ni. Jangan tunggu anak dah meningkat remaja barulah nak sekat anak-anak berkepit dengan gajet. Imbangilah mereka dengan menyelitkan amalan membaca buku sedari kecil sebab buku kan lebih baik berbanding gajet?