Tak senang duduk rasanya bila anak asyik nak ‘melekat’ dengan kita. Setiap kali kita bangun, setiap kalilah akan menangis dan meraung walaupun ditinggalkan dengan bapanya sendiri. Tergendalalah segala kerja rumah dek kerana bayi suka menangis setiap kali berenggang dengan ibunya. Jangan bimbang. Walaupun anak kecil selalunya selalu mahu ibu di sisi, mereka masih boleh dilatih untuk menghadapi ‘perpisahan’ sementara ini secara berkesan supaya kita dan anak dapat menjalani hari dengan baik.
- BERITAHU BAYI
Bayi yang susah ditinggalkan sebenarnya petanda baik. Ini membuktikan yang kita sudah membina ikatan kasih sayang yang kukuh dengannya. Namun begitu, kita tidak boleh ada dengannya setiap masa. Bila mahu ditinggalkan, beritahu dia bila kita akan kembali. Walaupun pada bayi, kita perlu cuba memberitahunya bahawa kita akan tinggalkannya sebentar. Jangan sekali-kali tinggalkanya senyap-senyap. Bila dia tahu kita sudah hilang, lebih susah jadinya. Bayi akan lebih susah untuk berenggang dengan kita, takut kita tiba-tiba hilang.
- JANGAN BERLENGAH UCAPKAN SELAMAT TINGGAL
Ucapkan selamat tinggal dengan senyuman dan secara singkat. Jika kita buat muka risau, anak juga tidak rela ditinggalkan. Salah satu ‘kelemahan’ ibu adalah apabila mendengar bayi menangis. Cuba konsisten dan jangan selalu menjenguk bayi semasa ditinggalkan dengan suami. Ini akan menyebabkan bayi lebih susah untuk berenggang dan berharap untuk anda berada bersamanya setiap masa!
- LATIH ANAK BERMAIN SENDIRI
Si bayi juga boleh dilatih untuk berpisah di rumah. Bila kita hendak ke dapur, beritahu anak kemana kita akan pergi dan bila kembali. Bila dia sudah boleh merangkak, biarkan dia untuk ke bilik kosong sendiri. Pastikan bilik itu selamat ya. Hal ini akan buatkan anak faham yang dia masih selamat walaupun berseorangan untuk seketika. Kita juga boleh menjemput si pengasuh ke rumah untuk bermain dengannya dan berlatih dari rumah. Tinggalkan anak sekejap dengan pengasuh supaya dia faham yang dia akan tetap selamat dan gembira bermain dengan pengasuh.
- TUNGGU WAKTU IDEAL
Anak akan lebih mudah mengamuk apabila lapar atau mengantuk. Tetapkan waktu yang paling sesuai untuk anak apabila hendak meninggalkannya. Jadualkan supaya anak anda dihantar setelah makan atau setelah bangun dari tidur. Dengan ini, anak akan lebih tenang menerima yang anda akan pergi sementara.
- TEPATI JANJI
Bila kita sudah berjanji dengan anak bila mahu pulang, tepati waktu. Jangan biarkan dia resah menunggu lama. Jangan berbohong pada anak jika mahu pulang lewat. Buat anak yakin pada kita. Bila kita jujur padanya, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharungi waktu tanpa kita.
- BIASAKAN ANAK DI TEMPAT YANG DITINGGALKAN
Bila kita bercadang untuk tinggalkan anak di rumah pengasuh, bawa anak bersama untuk menjenguk rumah itu. Jelaskan pada anak tujuan anda ke sini dan kita akan tinggalkan dia di sini buat sementara. Kenalkan anak kepada pengasuh supaya dia takkan berasa janggal apabila ditinggalkan. Ajak dia bermain dengan pengasuh dan kanak-kanak lain di sana. Apabila anak sudah boleh terima persekitaran dan orang-orang sekeliling, dia akan lebih mudah untuk dipisahkan nanti.
- BERSABARLAH KERANA IA JUGA PETANDA BAIK
Anak yang susah ditinggalkan sebenarnya petanda baik. Ini membuktikan yang kita sudah membina ikatan kasih sayang yang kukuh dengannya. Namun begitu, kita tidak boleh ada dengannya setiap masa. Jadi, ingatkan dia yang kita sentiasa sayangkan dia dan kita selalu bersamanya di dalam hatinya. Kesukaran untuk berpisah pada mulanya adalah perkara biasa. Jika perlukan bantuan, jangan teragak-agak untuk meminta sokongan suami dan keluarga terdekat.
Sumber: zuriat.my