Organ peranakan jatuh (JOP) atau lebih dikenali sebagai rahim jatuh biasa berlaku dalam kalangan wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada wanita yang pernah melahirkan anak mengalaminya atas pelbagai faktor penyebab.
Bukan saja terjadi kepada ibu yang sudah melahirkan anak, wanita yang belum berkahwin tidak terkecuali daripada mengalami masalah itu terutama dalam kalangan individu lasak dan sering melakukan kerja berat.
Atas pelbagai faktor, ramai penghidapnya enggan bertemu doktor atau bidan terlatih kerana malu atau bimbang dengan prosedur rawatan dilakukan itu mungkin menyakitkan. Masalah itu berlaku apabila ligamen dan otot pada bahagian pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tak boleh menampung organ pada bahagian berkenaan.
Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing pula menonjol ke bahagian dinding faraj dan usus besar menonjol ke arah belakang faraj. Walaupun tak mengancam nyawa, ia mendatangkan rasa tak selesa dan berkemungkinan penderitaan emosi.
JENIS JOP (PERANAKAN JATUH)
BAHAGIAN ATAS/BUMBUNG FARAJ
- Sekiranya ia membabitkan bahagian atas, rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).
- Rahim turun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tak menyedari keadaan ini. Kebiasaannya, ia hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear.
- Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj.
- Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar daripada faraj.
BAHAGIAN HADAPAN
Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj. Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan. Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa berlaku pada wanita.
BAHAGIAN BELAKANG FARAJ
Sebahagian daripada usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur yang dipanggil rektosele.
Kemungkinan besar kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak dikenal pasti, ia boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit.
- Satu lagi keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah. Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku selepas sokongan oleh otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah. Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid.
PUNCA
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah antaranya kehamilan, bersalin, usia, menopaus, obesiti, ketumbuhan seperti fibroid yang besar, batuk atau sembelit kronik. Punca lain termasuk mengangkat bebanan yang berat, keturunan, menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.
SIMPTOM DAN DIAGNOSIS
Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit ada kalanya tak merasai sebarang simptom atau ketidakselesaan. Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas. Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis. Organ rahim jatuh pula menyebabkan wanita berasa seolah-olah ada sesuatu yang berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk apabila rahim jatuh keseluruhannya, ia boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.
ANTARA LANGKAH PENCEGAHAN:
- Elak berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera.
- Melakukan senaman pelvik amat penting walaupun pada zaman bujang. Ia menguatkan otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan selepas pembedahan, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang.
- Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelak sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elak daripada meneran di bilik air lebih 15 minit. Sama ada anda puas membuang air atau sebaliknya, sila keluar dari bilik air.
- Memakai sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat.
- Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik.
- Elak daripada kerap hamil atau mengandung pada jarak yang rapat antara satu-satu kelahiran. Cubalah kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.
RAWATAN
Sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman pelvik. Selain itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim daripada jatuh.
Ia boleh digunakan oleh wanita dari pelbagai peringkat usia reproduktif atau wanita menopaus yang tak boleh atau tak memilih cara pembedahan. Ia mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu hamil dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tak sihat untuk menjalani pembedahan.
Namun ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya. Secara amnya, setiap rawatan individu bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya kepada kehidupan wanita itu.
Rawatan pembedahan menjadi pilihan terakhir bagi menangani JOP. Penghidapnya juga boleh berjumpa bidan terlatih yang mempunyai kemahiran dalam membantu merawat keadaan ini. Kebiasaannya, teknik urutan yang betul sedikit sebanyak mampu membantu dan menangani keadaan ini, namun penerangan daripada doktor diperlukan terlebih dulu.
PUNCA-PUNCA RAHIM TURUN
- Jatuh terhentak yang kuat.
- Angkat benda yang berat.
- Tak berpantang dengan betul selepas bersalin.
- Tolak benda dengan kaki terutama sekali menggunakan ibu jari.
- Obesiti.
- Pergerakan yang lasak.
KESAN AKIBAT PERANAKAN JATUH
- Sakit perut yang luar biasa.
- Keluar cecair dari rahim.
- Keputihan/lendir putih yang banyak dari kebiasaan.
- Sakit pada ari-ari.
- Sakit pada dinding faraj.
- Sakit ketika ‘bersama’ suami.
- Rasa kejang pada bahagian bawah perut.
- Terasa seperti mahu bersalin/macam ada benda nak keluar dari faraj.(Ini peringkat yang teruk).
TANDA-TANDA SESEORANG WANITA MEMILIKI RAHIM YANG TAK SIHAT
1. Sakit Tumit
Tumit sering berasa sakit, berdenyut dan menyucuk-nyucuk secara tiba-tiba. Rasa ini lebih kerap bila banyak berjalan, berdiri atau mengangkat benda berat serta beban pada perut.
2. Tapak Kaki Mengalami Kesakitan
Tapak kaki berasa sengal ketika memijak lantai dan selain sengal urat pada bahagian berkenaan juga menyucuk-nyucuk dan bisa.
3. Sakit Pinggang
Sering sakit di sekeliling pinggang hingga ke papan punggung dan ke atas urat belikat. Sakit pinggang ini seakan-akan lenguh ketika senggugut tapi ia berlaku ketika anda tidak mengalami haid pun.
4. Sakit Pada Bahagian Ari-Ari
Bahagian bawah perut hingga ke pangkal peha. Rasa sengal dan lenguh pada pangkal paha hingga merebak ke lutut.
5. Kerap Kencing atau Kencing Tak Lawas
Mudah terkencing bila bersin, batuk atau ketawa. Mudah juga dijangkiti dengan penyakit kencing kotor serta rasa ngilu sakit ketika buang air kecil.
6. Sakit Ketika Bersama
Sukar melakukan hubungan suami isteri dan sering merasa sakit pada bahagian ari-ari setiap kali bersetubuh. Perkara ini juga boleh merosakkan hubungan suami isteri.
7. Vagina Mengeluarkan Angin (Kentut)
Vagina sering mengeluarkan angin seperti anda mengeluarkan kentut. Jika kerap mengalami situasi seperti ini, tandanya rahim atau peranakan anda menghadapi masalah dan vagina kembang.
8. Kerap Kembung Perut
Badan berangin dan sering kembung perut. Badan mudah masuk angin dan perut menyucuk akibat angin dalam rahim dan perut.
9. Miss V ‘Basah’ & Berbau
Vagina berair dan berbau. Berlaku keputihan luar biasa dan salah satu tanda peranakan kembang.
Semoga bermanfaat!
Sumber: harian metro/ keluarga.my / mingguanwanita.karangkraf.com / hijabnheels
BACA JUGA BENTAN SELEPAS BERSALIN | JENIS-JENIS BENTAN, RAWATAN & PETUA TRADISIONAL
PESAN MAMA SITI
Sebagai wanita yang dah berkahwin mahupun belum berkahwin, kita kena jaga peranakan kita sebaiknya. Sebab tu orang dulu-dulu selalu pesan jangan angkat berat-berat dan bila berpantang tu berpantang betul-betul. Memang masa tu tak rasa tapi akan datang pasti terasa kesannya.
- Apa yang dimaksudkan dengan Peranakan Jatuh?
Organ peranakan jatuh (JOP) atau lebih dikenali sebagai rahim jatuh biasa berlaku dalam kalangan wanita.
- Siapa yang berisiko untuk mengalami peranakan jatuh?
Mama yang sudah melahirkan anak, wanita yang belum berkahwin tidak terkecuali daripada mengalami masalah itu terutama dalam kalangan individu lasak dan sering melakukan kerja berat.
- Tanda-tanda rahim tak sihat :
1) Sakit tumit
2) Sakit tapak kaki
3) Sakit pinggang
4) Sakit pada bahagian ari-ari
5) Kerap kencing atau kencing tak lawas
6) Sakit ketika bersama
7) Kentut vagina
8) Kerap kembung perut
9) Miss V basah dan berbau