Melihat anak-anak membesar adalah satu kepuasan bagi setiap mama papa. Namun apa yang menjadi kerisauan adalah sesetengah anak-anak susah makan dan sangat memilih dalam pemakanan. Apabila disuap, diluahkannya semula. Haihlah anak…
Jangan pula mama salahkan diri sendiri ya. ‘Ini semua salah aku, aku asyik bagi dia makan snek atau jajan sampai dia kenyang’ atau ‘haih kenapalah aku tak biasakan dia makan buah dan sayur dari awal’. Tak perlu mengeluh kerana ianya normal dan ada banyak sebab kenapa anak menjadi ‘picky eater’.
Antara sebab anak susah makan adalah anak cepat bosan dengan menu yang sama, waktu makan yang tak teratur, kenyang susu atau snek dan juga terpengaruh dengan cara pemakanan ahli keluarga lain. Hal ini boleh diatasi dengan beberapa langkah berkesan dan mudah. Jom ikut enam cara ini!
6 Langkah Mudah Rangsang Selera Anak Susah Makan
#1 Pelbagaikan menu harian
Menu berkhasiat sangat penting untuk tumbesaran anak-anak tapi kadang-kadang mereka cepat bosan dengan hidangan yang sama je setiap hari. Apa yang boleh mama lakukan adalah dengan mempelbagaikan menu seperti menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat yang lain contohnya kentang, jagung, mee atau pasta.
Jika anak suka makan makanan yang manis, ibu boleh sediakan jus buah selain memberi buah potong kepada mereka. Kunci utama di sini, mama perlu kreatif dalam menyediakan makanan si manja bagi menarik minat mereka untuk mencuba benda baru. Pasti mereka teruja!
#2 Hiaskan makanan boleh rangsang selera anak susah makan
Untuk pengetahuan mama, teknik menghias makanan terbukti dapat merangsang deria penglihatan dan ingin cuba anak-anak. Iyalah, hiasan menarik dan comel seperti kartun dah tentu membuatkan si manja tertarik.
Ibu boleh menggunakan ‘cookie cutter’ yang mempunyai pelbagai bentuk dalam memotong buah dan makanan mereka. Cara ini dapat menambah keterujaan si comel dan secara tak langsung merangsang selera makan mereka.
#3 Masak bersama anak-anak
Selain menghias dan mempelbagaikan makanan, meluangkan masa bersama anak semasa menyediakan makanan adalah salah satu langkah terbaik juga. Dengan cara ini mereka pasti teruja untuk mencuba air tangan mereka sendiri.
Beri peluang untuk mereka memilih ‘groceries’ dan membantu mama di dapur seperti menggaul dan menuang bahan masakan. Penglibatan ini dapat membantu menaikkan selera mereka sekaligus mengeratkan hubungan kekeluargaan.
#4 Makan bersama keluarga
Di samping kesibukan mama papa dalam mencari rezeki, luangkanlah waktu makan bersama anak-anak. Kajian menunjukkan bahawa teknik ini membuatkan anak lebih berselera kerana ‘happy mood on’ apabila melihat semua ahli keluarga makan semeja.
Selain itu, mama papa juga boleh memantau pemakanan anak-anak dan peka dengan cara makan mereka. Jadikan waktu makan sebagai rutin harian keluarga.
#5 Elakkan memaksa anak susah makan
Kalau anak menolak, jangan memaksa si dia untuk terus makan. Hal ini akan mengeruhkan keadaan. Mama boleh mencuba pada waktu lain untuk beri anak makan. Mungkin masa tu ‘timing’ tak tepat, sebab tu lah, mama perlu menetapkan jadual makan supaya anak akan terus makan kerana dah tiba waktu untuk perutnya diisi.
#6 Jadikan contoh
Sebagai orang tua, kita adalah ikon terbaik dalam membentuk anak-anak kerana kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan? Amalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan supaya mereka akan mencontohi mama papa. Elakkan makan makanan segera dan diproses di depan mereka.
Di samping itu, boleh juga menjadikan kartun kegemaran mereka sebagai contoh. Misalnya dengan menunjukkan video kartun makan dengan penuh selera yang mana secara tak langsung mempengaruhi pemikiran mereka untuk makan dengan kuantiti yang secukupnya.
Lain Anak Lain Seleranya
Langkah-langkah ini amat berkesan dalam mengatasi masalah anak susah makan. Namun harus diingatkan bahawa setiap anak beza seleranya, kemungkinan teknik ini tak memberi kesan kepada mereka. Tapi kebanyakannya telah menunjukkan reaksi positif.
Ditegaskan juga, jika selera dan berat badan si manja kelihatan menurun dan agak membimbangkan, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Moga tips ini dapat membantu mama untuk menghadapi isu anak susah makan ini.
Selamat mencuba!
Sumber: Fizah Sobri, The Zuriat, Family Doctor
BACA LAGI ANAK TAK SUKA MAKAN NASI? MAMA BOLEH CUBA RESEPI RICE BALL AYAM NI!
Pesan Mama Siti
Menjadi kreatif adalah antara kunci menaikkan selera makan anak. Bukan sahaja kreatif dalam penyediaan, malah juga cara memasak dan teknik dalam memberi teladan kepada si manja juga harus divariasikan. Semuanya bermula dari rumah dan ibu bapa itu sendiri kerana kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kan?