KelabMama

5 Tips Penting Penjagaan Kesihatan Jantung

Percayakah mama? Pasangan yang pentingkan penjagaan kesihatan jantung akan hidup lebih sihat dan sejahtera. Ikuti 5 tips berikut untuk menjaga kesihatan jantung dan serlahkan jiwa muda mama bersama orang tersayang.

Individu yang mengalami masalah penyakit darah tinggi, diabetes, perokok harus waspada kerana mereka antara golongan yang sering mengalami penyakit jantung.

1. Kekalkan Berat Badan Yang Sihat

Berat badan yang sihat ialah indeks jisim tubuh (IJT) di antara 18.5 dan 24.9. Kalau IJT mama lebih dari 25, mama dikira obes. Jadi mama Siti sarankan cuba usaha untuk kurangkan berat badan. Sebab bila mama ada masalah berat badan yang berlebihan, ia akan tingkatkan risiko untuk mama dapat penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, angin ahmar, diabetes, kanser dan darah tinggi.

2. Kekalkan Tahap Kolesterol, Tekanan Darah & Gula Darah Dalam Lingkungan Normal

Lakukan pemeriksaan tahunan yang lengkap bagi memantau tahap kolesterol, tekanan darah dan gula darah bagi mengekalkan kesihatan jantung yang baik. Jangan lupa amalkan diet yang seimbang dan teruskan gaya hidup yang aktif.

3. Amalkan Diet Yang Baik Untuk Jantung

Cabar diri untuk makan makanan sihat supaya tak perlu susah di masa depan.

Pilih makanan yang rendah dengan lemak tepu dan kolesterol. Kalau mama nak makan daging, pilih bahagian daging yang kurang berlemak, dan kurangkan makanan bergoreng. Kalau mama jenis yang suka makan ikan lagi bagus. Masukkan ikan dalam diet mama setiap hari dan pilih ikan laut dalaman (contoh: salmon/sardin) 2 kali seminggu.

Makan buah- buahan dan sayuran kerana ia merupakan sumber serat, vitamin-vitamin dan mineral, serta fitokimia yang baik untuk jantung mama. Kurangkan pengambilan garam dan gula. Buat pengetahuan mama, gula ni cepat bertukar jadi lemak dan pengambilan garam yang berlebihan boleh buka jalan pada strok dan pendarahan otak .

4. Kekal Aktif Secara Fizikal

Sibuk bekerja bukan alasan untuk tak bersenam kerana ada pelbagai jenis senaman yang boleh dicuba untuk menjaga kesihatan jantung.

Tabiat bersenam dapat bantu kekalkan tahap tekanan darah, gula darah dan kolesterol darah dalam lingkungan yang sihat. Pilihlah aktiviti yang mama dan keluarga suka, dan tingkatkan kekerapan mengikut masa. 

5. Pengurusan Stres

Jangan pandang stres sebelah mata. Stres yang berlebihan boleh jadi punca tekanan darah meningkat dan meningkatkan bebanan terhadap jantung kita. Mama digalakkan untuk lakukan aktiviti seperti yoga dan meditasi kerana ia dapat membantu menenangkan diri dan mengurangkan stres.

Sumber: Anlene

BACA JUGA KURANGKAN BERAT BADAN DENGAN PELAN DIET DETOX SECARA SIHAT

Pesan Mama Siti:

Jantung kita bekerja keras tanpa henti bermula dari kita dalam kandungan ibu sampai la ke hujung nyawa kita. Ia tak pernah pun rehat dan tak pernah berhenti daripada melakukan kerjanya. Kalau dia rehat, alamat KO la kita. Jadi apa salahnya kita cuba ubah gaya hidup kita untuk jaga kesihatan jantung kita. Mama kena ingat perubahan yang kecil boleh jadi perubahan besar untuk jangka hayat jantung kita yang lebih panjang.