KelabMama

5 TAHUN PERKAHWINAN BUKAN TEMPOH PERCUBAAN

Isu keruntuhan rumah tangga dalam tempoh lima tahun pertama melayari rumah tangga adalah satu keadaan benar yang mana terjadinya kes-kes perceraian paling tinggi. Banyak kajian mahupun penyelidikan yang dilakukan, rata-rata berpendapat perceraian lebih kerap berlaku di awal usia perkahwinan berbanding melewati 10 tahun ke atas. Dalam kata lain, jika pasangan mampu menyesuaikan diri dan menghadapi cabaran dan dugaan dalam tempoh lima tahun pertama, bererti mereka mampu untuk meneruskan dan melayari bahtera rumah tangga sebaiknya selepas tempoh tersebut. Ini kerana, lima tahun pertama boleh dikatakan tempoh kritikal dalam memahami hati budi masing-masing dan penyesuaian gaya hidup pasangan yang beraneka ragam. Pasangan suami isteri yang muda selalu mengalami masalah keruntuhan rumah tangga di lima tahun pertama ini berbanding orang dewasa yang sudah matang. Namun, ada juga pasangan yang pernah berumah tangga tetapi masih tidak mampu mempertahankan perkahwinan mereka akibat daripada masalah dan cabaran yang tidak mampu mereka tangani bersama.

 

 

 

 

 

 

BERBICANGLAH!

 Biarpun semua orang tidak ada pengalaman, tetapi persefahaman dan musyawarah itu penting dalam apa jua perkara atau masalah yang timbul dalam rumah tangga. Kesimpulannya, masyarakat juga harus mengubah mentaliti yang menganggap lima tahun pertama sebagai tempoh percubaan perkahwinan, fahaman ini adalah tidak benar. Perkahwinan adalah ikatan yang serius dan mulia di sisi Tuhan dan bukannya sekadar mencuba-cuba. Jadi, tingkatkan usia perkahwinan dan pasangan berbincanglah untuk hadapi cabaran secara matang. Pasangan sepatutnya harus berbincang secara bersemuka sekiranya terdapat masalah yang melanda rumah tangga mereka, namun apa yang berlaku pada hari ini kebanyakan pasangan muda yang berkahwin enggan berkomunikasi dengan pasangannya akibat kurang sefahaman sesama mereka. Lagipun dengan adanya pengaruh yang besar daripada Internet seperti media sosial, menyebabkan ramai pasangan yang lebih ‘khayal’ menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada melayan suami atau isteri mereka.

 

MEDIA SOSIAL BAWA KESAN PADA RUMAHTANGGA

Inilah yang terjadi, akibat terlalu banyak bersosial menggunakan sosial media, pengaruh ini sedikit sebanyak mengganggu hubungan suami dan isteri. Apatah lagi dengan adanya teknologi canggih seperti ini masa berharga di rumah setelah balik kerja untuk dihabiskan bermesra bersama pasangan sudah tiada lagi atau semakin kurang. Bila ini berlaku wujudnya unsur kurang persefahaman kerana tiada komunikasi dua hala. Selalunya pasangan muda ini ketika bercinta memang seronok kerana apa yang buruk semuanya disorok, sehingga pasangan tidak mengenali perangai yang sebenar, tetapi sebaliknya berlaku apabila selepas berkahwin, itu belum lagi ditambah dengan masalah kewangan yang tidak stabil. Peranan media sosial yang membolehkan pasangan berinteraksi dengan ‘teman-teman di luar’ menerusi aplikasi tertentu juga memberikan kesan yang mendalam apabila perkongsian berkenaan turut memberi pengaruh yang tidak baik kepada mereka.

 

MINTA BANTUAN PADA YANG PAKAR

 

 Sebenarnya, kursus persediaan perkahwinan juga perlu dilihat kembali, sama ada masa yang diberi cukup atau tidak begitu juga dengan pengisiannya. Tambahan sekiranya ada kursus selepas setahun perkahwinan yang dinamakan kursus pasca perkahwinan juga boleh dipertimbangkan kerana pada ketika itu boleh dibincangkan secara mendalam masalah-masalah yang telah mereka alami seperti kewangan, ketidaksefahaman , cara mengawal kemarahan atau sebagainya agar ramai daripada pasangan yang bermasalah dapat dibantu. Ini kerana pasangan yang muda atau baru mula berkahwin masih belum matang untuk mengemudi haluan rumah tangga masing-masing, ditambah dengan faktor-faktor luaran yang tidak membantu menjadikan mereka tidak dapat mengawal keadaan. Tambahan sekiranya mereka sendiri apabila 
hendak berumah tangga itu tidak mempunyai persediaan yang secukupnya. Kepada pasangan yang berhadapan dengan masalah, agar berhubung dengan kaunselor-kaunselor perkahwinan atau orang tengah yang profesional untuk berbincang tentang masalah mereka. Jangan senyap dan meneruskan perkahwinan yang bermasalah seolah-olah tiada apa yang berlaku sehinggalah satu hari semuanya meletup dan ketika itu semuanya sudah terlambat.

 

 

Sumber: Internet