Ramai yang menulis dan memberikan tip dan sokongan buat ibu. Sebenarnya, peranan bapa adalah sama besar dalam perkembangan anak-anak. Apakah yang boleh dilakukan oleh bapa dan seorang suami kepada ibu yang sibuk mengurus dan menyediakan anak-anak untuk masuk ke tadika buat pertama kali? Sama ada anak pertama, kedua atau ketiga, mereka tetap mengalami fasa peralihan untuk kemasukan ke tadika. Berikut adalah antara beberapa perkara mudah:
- LUANGKAN MASA BERBINCANG BERSAMA ISTERI TENTANG PEMILIHAN TADIKA.
(Keperluan Anak)
- Apakah tahap perkembangan anak kita itu? Apakah kemahiran sosialnya sudah mencukupi?
- Sekiranya anak kita itu anak tunggal dan kurang pendedahan sosial, tadika dengan kapasiti kecil mungkin menjadi pilihan.
- Sekiranya anak kita itu masih memerlukan bantuan ke tandas dan masih memakai lampin, saiz kelas yang kecil dengan ‘ratio’ guru:murid kecil adalah lebih sesuai.
- Sekiranya kita sebagai ibu bapa mendapati bahawa kita boleh bertoleransi dengan banyak perkara yang melibatkan tumpuan guru kepada anak kita bersifat sederhana, tadika dengan kapasiti murid yang besar tidak menjadi masalah.
(Kemampuan & Bajet)
- Duduk dan bincangkan bersama ibu tentang bajet dan kemampuan bapa. Sama ada ibu bekerja di luar atau ibu bekerja di rumah, ia masih perlu dibincangkan.
- Apabila ibu bekerja yang bersedia untuk menggalas sebahagian daripada perbelanjaan pendidikan anak, ia adalah bonus.
- Sebagai contoh, ada ramai ibu bekerjaya yang setuju untuk membayar semua yuran pusat jagaan sahaja. Yuran pembelajaran tadika termasuk kos pengangkutan diserahkan kepada bapa.
- Ada sebahagian ibu dan bapa pula bersetuju untuk membahagikan perbelanjaan penjagaan dan pendidikan anak mengikut bilangan anak. Contoh, pembayaran semua yuran anak pertama ibu yang uruskan manakala anak kedua bapa yang uruskan.
- Yang pasti, bapa mesti berbincang perkara sebegini dengan baik untuk memastikan kelancaran proses pembelajaran anak-anak untuk setahun.
- Khidmat tadika adalah berbentuk ‘yearly subscription’, untuk membolehkan anak belajar melalui satu proses yang lengkap.
- BERTUAH APABILA PUNYA MASA TERLUANG UNTUK SAMA-SAMA MELAWAT TADIKA.
- Jika tidak, dapatkan maklumat penuh daripada anak dan isteri apabila mereka selesai melawat tadika.
- Apabila bapa dalam situasi sibuk, gunakanlah komunikasi berhubung terkini yang boleh digunakan seperti ‘face time’ dan ‘google hangout’.
- HADIR BERSAMA UNTUK SESI PENERANGAN YANG DIJALANKAN OLEH PIHAK TADIKA
- Adalah menjadi kebiasaaan untuk pihak tadika mengadakan sesi penerangan kepada ibu bapa setiap kali tahun baru pembukaan tadika. Meskipun kita sudah biasa dengan tadika itu, kehadiran kita juga penting, apatah lagi jikalau tadika itu pertama kali untuk kita.
- Tadika akan mempunyai banyak maklumat baru untuk setiap tahun baru persekolahan. Kehadiran bapa akan dapat memberi kesan kepada ibu dan anak-anak.
- MEMBANTU ISTERI DALAM PROSES MENYEDIAKAN ANAK KE TADIKA.
(Persediaan Emosi)
- Bantu ibu mendidik dan menyediakan anak-anak untuk suasana tadika kelak.
(Persediaan Fizikal)
- Bantu ibu memilih barangan yang diperlukan untuk ke tadika seperti beg dan kasut sekolah.
- Pada waktu pagi, dalam situasi sibuk, bapa boleh memberi sokongan dengan membantu perkara ringkas seperti membantu melayan anak-anak bersarapan.
- SEDIAKAN WANG PEMBAYARAN YURAN TEPAT PADA MASANYA.
- Sama ada secara tunai, online atau bayaran dengan menggunakan cek, bapa dapat memberikan sokongan dengan menyediakannya tepat pada masa. Dengan ini, ibu juga dapat mengurangkan tekanan yang datang secara tidak langsung akibat pembayaran yuran yang lewat.
- Adakalanya, ibu juga segan untuk berhadapan dengan cikgu dan pengurusan tadika apabila yuran tadika dibayar lewat.
- Walaupun begitu, apabila ada kelewatan, bapa mestilah bertanggungjawab memaklumkan lebih awal agar urusan ini dapat ibu selesaikan dengan baik dengan pihak sekolah.
- Sekiranya, bapa dan ibu mengambil keputusan untuk membahagikan tugas, iaitu tugas pembayaran yuran adalah di bawah kuasa bapa sepenuhnya, maka bapa boleh terus berurusan dengan pihak sekolah.
- Hakikatnya, ketepatan masa membuat pembayaran adalah antara salah satu perkara besar yang membantu pihak tadika memastikan pengurusan mereka dijaga dengan baik.
Sumber: Puan Noraminah Omar