Ada beberapa posisi terbaik menyusu yang dicadangkan untuk para ibu. Info ini mungkin berguna buat bakal-bakal ibu muda yang ingin memulakan penyusuan. Kadangkala posisi menyusu yang salah akan menyebabkan ibu berasa letih dan tidak selesa sekaligus menyebabkan anda rasa cepat mengalah untuk meneruskan proses penyusuan badan.

POSISI BUAI/ DUKUNG BAYI/CRADLE
Posisi ini adalah posisi paling biasa yang diamalkan oleh kebanyakan ibu. Ia mudah dilakukan apabila menyusukan bayi semasa duduk, mahupun semasa atau sambil berdiri. Walaupun nampak mudah, sentiasa ingat, bayi yang perlu dirapatkan kepada ibunya, bukan ibu yang perlu merapatkan diri kepada bayi. Jaga leher dan belakang ibu supaya tidak berbongkok mahupun terlalu menunduk, yang boleh membuatkan ibu stres pada bahagian leher dan belakang badan. Posisi penyusuan yang salah juga boleh mengundang kepada faktor-faktor isu penyusuan seperti bengkak susu.
POSISI SILANG BUAI ATAU SILANG DUKUNG BAYI
Posisi Silang Buai atau Silang Dukung Bayi ini sesuai dilakukan pada bayi yang ‘cerewet’, dan pandai memilih. Ada bayi yang sangat suka menyusu pada sebelah bahagian payudara ibu sahaja. Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya situasi ini adalah:
- Ibu ‘Mengajar’ Bayi Sejak Dari Dalam Tempoh Berpantang – Ada ibu yang tidak menggilirkan bahagian payudara pada setiap kali sesi penyusuan. Dalam berpantang, kadangkala ibu lebih selesa baring mengiring pada sebelah bahagian sahaja akibat kesakitan jahitan episiotomi. Sebaiknya, ibu mendidik bayi sedari awal dengan menggilirkan setiap payudara pada setiap kali sesi penyusuan yang berbeza.
- Bayi Pandai Memilih Secara Semulajadi – Memang ada bayi yang pandai memilih sendiri bahagian ataupun posisi kegemaran mereka. Sebagai contoh, ada bayi suka mengiringkan kepala pada bahagian kiri sahaja, lalu payudara yang sesuai padanya adalah payudara sebelah kanan. Menggunakan posisi ini, ibu dapat membantu bayi masih lagi mengiring ke bahagian kesukaannya, tetapi menggunakan payudara yang berbeza.
- Faktor Semulajadi Payudara Ibu – Ada ibu yang mempunyai puting yang berlainan jenis puting pada setiap bahagian payudara. Sebagai contoh, puting pada payudara kanan ibu adalah normal tetapi pada bahagian kiri pula putingnya tenggelam. Bayi lalu memilih bahagian yang dirasakannya lebih mudah bagi menyusu dan melekap. Walau bagaimanapun, sebenarnya ini bukan ‘isu besar’ yang perlu dijadikan alasan oleh para ibu. Ini kerana, dalam proses pelekapan menyusu, apa yang diperlukan bayi adalah kawasan aerola, bukannya puting. Maksudnya,bayi akan menghisap susu melalui aerola, bukan melalui puting. Dalam konteks ini, ibu MAMPU menyusukan bayi dengan cara membantu bayinya. Ibu boleh melakukan stimulasi pada puting payudara terlebih dahulu sebelum menyusukan. Ibu juga boleh menggunakan picagari yang sudah diubah suai bagi memudahkan proses stimulasi, seperti gambar di bawah:
- Faktor Semasa – Faktor semasa ini bermaksud, sekiranya pada masa itu sebelah bahagian payudara sedang mengalami bengkak susu, puting luka, cedera, dan sebagainya, membuatkan bayi mula beralih arah pada bahagian yang lebih baik untuknya. Ada juga kes, bayi sensitif pada krim payudara atau krim puting yang digunakan oleh ibu. Penggunaan krim itu biasanya ‘melarikan’ rasa dan bau ibu. Ibu pula sibuk menggunakannya bagi mengubati puting yang sakit, luka, mahupun rengsa. Ubat yang paling mujarab dan ‘menyantuni’ puting ibu sebenarnya adalah SUSU AKHIR ibu sendiri (bukan susu awal). Ini kerana, susu akhir ibu kaya dengan ‘pelembap semulajadi’, khasiat, dan antibodi yang tiada tolok bandingnya. Justeru, digalakkan para ibu menyapu sedikit susu akhir pada setiap kali sesi penyusuan mahupun pemerahan selesai.
POSISI BARING
Posisi baring sebenarnya boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Cara biasa, mahupun cara ‘kulit ke kulit’, yang biasanya diamalkan di dalam labor room.
- Ibu juga boleh melakukannya secara bersilang iaitu dengan wajah bayi menghadap dada ibu, dan wajah ibu menghadap perut bayi. Dalam erti kata lain, kaki bayi melunjur seiring dengan kepala ibu.
- Walau apapun posisi baring yang diamalkan, pastikan ibu dan bayi berasa selesa. Lapik bantal dengan sebaik mungkin pada leher ibu, belakang ataupun bawah bayi, belakang ibu (sekiranya perlu), mahupun bantal antara kedua-dua lutut ibu. Ini penting supaya ibu tidak mengalami ketegangan, dan pelekapan dapat dilakukan dengan sempurna, apatah lagi dalam tempoh berpantang.
- Berhati-hati juga apabila mengamalkan posisi baring. KESELAMATAN perlu sentiasa diutamakan dalam apa juga situasi. Apatah lagi, ditakuti sekiranya ibu tertidur keletihan. Posisi yang dilakukan dengan sempurna dapat mengelakkan berlakunya kejadian bayi lemas.
- Ada juga ibu yang ‘malas’ mengubah kedudukan bahagian badan apabila menyusukan bayi semasa baring. Sebagai contoh, ibu berbaring mengiring ke kanan bagi menyusukan bayi dengan payudara pada bahagian kiri, dan MASIH LAGI mengiring ke kanan bagi menyusukan bayi dengan payudara pada bahagian kanan. ELAKKAN cara begini terutamanya dalam proses berpantang ataupun bayi masih kecil. Ini kerana, sekiranya ibu terlelap, bayi masih belum pandai mahupun bertenaga menolak dan memberi isyarat pada ibunya.
POSISI PENARI
Posisi Penari (Dancer Hold) ini boleh dilakukan pada bayi yang mengalami kesukaran menyusu akibat daripada faktor semulajadi, contohnya sumbing (contohnya sumbing bibir), down syndrome, dan tounge tie (lidah terlalu pendek), bergantung pada situasi kes bayi itu. Dalam konteks ini, dagu bayi disokong tegak oleh tiga jari (ibu jari, jari telunjuk, dan jari hantu). Bayi diletakkan dalam posisi duduk, dan disokong belakangnya. Payudara juga boleh ditampung daripada bahagian bawah payudara sekiranya perlu, juga oleh tiga jari utama tadi. Ini dilakukan sekiranya payudara ibu bersaiz besar.
Bagi kes sumbing (sebagai contoh sumbing bibir), mulut bayi dimuatkan dengan ‘penuh’ pada aerola, bagi menutup sumbing yang ada itu. Ini membantu dan memudahkan bayi melakukan hisapan. Ini bermakna, selain daripada penggunaan suapan cawan dan picagari, masih ada cara lain yang dapat kita ikhtiarkan bagi menjayakan penyusuan sus ibu pada bayi begini, iaitu melalui Posisi Penari.
Sumber: menyususimanja.blogspot.com