Mandikan bayi baru lahir adalah yang paling ditakuti oleh kebanyakan yang baru bergelar ibu dan ayah. Rasa tidak yakin untuk memegang badan bayi yang bersaiz kecil dan lembik. Mahu atau tidak, sebagai ibu dan ayah sudah tentu anda mesti tahu cara betul memandikan bayi sendiri. Sampai bila hanya hendak mengelap sahaja badannya dengan tuala basah. Jadi, belajarlah cara memandikan bayi dengan betul. Ia penting supaya memudahkan anda untuk menguruskan si comel dengan sempurna. Memandikan bayi yang baharu lahir atau pada usia enam bulan ke bawah tidaklah mudah kerana jika cara yang dipraktikkan tidak betul boleh mengundang bahaya kepada bayi berkenaan.
Beberapa kejadian melibatkan kecederaan bayi turut dilaporkan sebelum ini apabila kulit bayi dilaporkan melecur ketika dimandikan di hospital, malah ada juga kejadian di mana bayi lemas ketika dimandikan ekoran penjaga terleka seketika. Seharusnya ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu tersebut kerana memandikan bayi bukan setakat membersihkan tubuh si kecil, tetapi apa yang penting ialah ibu bapa dapat meluangkan masa berkualiti bersama dengan bayi.
Walaupun bayi masih kecil, bahasa tubuh dan sentuhan yang diberikan ketika membersihkan bayi memberikan isyarat kasih sayang kerana sentuhan yang diberikan memberikan rangsangan berkesan bagi meningkatkan sistem daya tahan dan memberikan suntikan keyakinan diri kepada bayi. Ketika memandikan bayi, ibu bapa tidak boleh melakukannya secara tergesa-gesa kerana proses itu perlu disertakan dengan dakapan kulit ke kulit, iaitu sentuhan kulit bayi dengan kulit ibu tanpa dihalang oleh pakaian. Sentuhan yang merangsang pengeluaran hormon Oxytocin dalam tubuh amat penting bagi bayi untuk mendapatkan rasa tenang dan disayangi oleh ibu bapa mereka.
Justeru, ibu bapa muda yang pertama kali memandikan bayi harus membuang rasa takut dan tidak yakin. Kebimbangan mencederakan bayi ketika proses memandikan dapat diatasi jika ibu bapa baharu ini diberikan penerangan dan latihan oleh jururawat atau bidan terlatih sebelum kelahiran bayi mereka. Bahkan, dunia tanpa sempadan, membolehkan ibu bapa mempelajari teknik memandikan bayi yang diajarkan oleh bidan terlatih melalui laman media YouTube.
Bayi yang berusia satu bulan ke bawah mempunyai kulit yang masih kurang matang. Kulit mereka sangat sensitif pada kualiti air dan sabun yang digunakan. Oleh itu, ibu bapa harus menggunakan mandian yang dinasihatkan doktor bagi mengelakkan kulit bayi tercela. Selain faktor ilmu, keadaan suhu air merupakan faktor yang penting ketika proses memandikan bayi terutama ketika bayi berusia enam bulan ke bawah kerana kesan suhu air boleh menyebabkan kemudaratan sehingga membawa kepada kematian pada bayi.
Kesan Hipotermia
Kesan paling mudah ialah, bayi mengalami hipotermia iaitu keadaan suhu tubuh yang menurun secara mengejut kerana lapisan kulit bayi yang masih terlampau tipis jika ibu bapa memandikan bayi menggunakan air sejuk. Apabila bayi terkena hipotermia menyebabkan mereka lupa cara bernafas dan perkara itu sangat berbahaya kepada bayi.
- Bayi akan mengalami kebiru-biruan pada mulut yang menandakan bayi tidak menarik nafas secukupnya. Oleh itu, sebelum meletakkan bayi ke dalam bekas mandian, pastikan air yang digunakan adalah air suam dan bukannya air yang panas. Letakkan air sejuk dahulu kemudian tambahkan air panas.
- Kacau air untuk memastikan tidak ada mana-mana kawasan dalam bekas mandian itu yang masih panas. Ini akan mengurangkan risiko bayi yang dimandikan mengalami lecuran.
- Ibu bapa juga boleh membeli termometer di kedai ubat atau farmasi untuk memeriksa suhu air mandi dengan lebih mudah. Sebaiknya bayi di bawah usia enam bulan ke bawah dimandikan dengan air bersuhu sekurang-kurangnya antara 30 darjah Celsius. Paras suhu tersebut dianggap cukup hangat dan selesa bagi kulit serta paru-paru bayi, manakala bayi yang melebihi enam bulan, suhu yang ideal ialah sekitar 37 sehingga darjah celsius, iaitu suhu badan.
- Waktu memandikan bayi pula tidak memberikan kesan secara terus kepada bayi malah boleh memandikan bayi waktu malam, asalkan menggunakan air yang suam. Ibu bapa perlu diingatkan agar tidak memandikan bayi pada waktu sepatutnya bayi itu tidur.
- Selain itu, beberapa perkara lagi perlu diberi perhatian, seperti menyediakan semua peralatan mandian yang diperlukan untuk memandikan bayi sebelum bermula dan letak di tempat yang senang untuk dicapai untuk memudahkan proses itu berlangsung.
Perkakasan Mandian
- Besen mandi
- Kain lampin
- Tuala mandi
- Barut perut
- Minyak telun
- Putik kapas
- Tungku bayi
- Kapas
- Baju
- Sikat
- Pembersih mandian
Cara-Cara
- Sediakan air dalam besen mandi sebelum anda menanggalkan pakaian bayi. Mandikan bayi anda dengan air suam untuk elakkan bayi sejuk. Isikan air sejuk dulu, kemudian diikuti air panas di dalam besen mandian bayi.
- Sebelum memasukkan bayi dalam air, pegang bayi dengan cara membelakangkan anda. Cara ini untuk mengelak bayi terkejut apabila terkena air.
- Secara perlahan-lahan masukkan bayi ke dalam air. Mulakan dengan bahagian kaki dan seterusnya naik ke atas iaitu bahagian paha. Gosok dengan tangan untuk memastikan air membasahi badan bayi. Cara yang betul untuk memegang bayi semasa mandi ialah mengendongnya dengan satu tangan dan membiarkan satu tangan lagi bebas untuk menyiram air.
- Seterusnya siram juga bahagian belakang bayi dengan air bersih. Ratakan air di bahagian belakang bayi menggunakan tangan anda.
- Cuci bahagian ketiak, kelangkang, paha, leher dan mata bayi dengan menggunakan kapas basah. Anda juga boleh menggunakan span mandian bayi bagi tujuan menggosok badan bayi.
- Seterusnya, gunakan syampu bayi untuk membasuh rambut bayi. Cara ini dapat membantu membersihkan kerak kepala bayi.
- Penggunaan sabun tidak diwajibkan, tetapi ia memberikan bau segar yang berpanjangan pada bayi. Gunakan sabun bayi hipo-alergi kerana kulit bayi amat sensitif. Elakkan daripada terkena pada mata bayi.
- Seterusnya siram air dari belakang hingga ke kepala. Air siraman bersih ini disimpan dalam gayung iaitu diambil terlebih dahulu sebelum bayi masuk dalam besen mandi. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.
- Selesai mandi, balut segera badan bayi dengan tuala. Elakkan bayi terdedah terlalu lama kerana ia tidak baik untuk kesihatannya. Selesai mandi, tiupkan bacaan selawat nabi ke telinga kanan dan kiri bayi.
- Bayi mesti dikeringkan sepenuhnya dengan memfokuskan pada bahagian bawah leher, kepala, tali pusat, bahagian punggung, paha dan ketiak. Ia juga termasuk celah-celah jari bayi. Semua bahagian itu perlu dibersihkan dengan betul kerana jika tidak, ia boleh membawa jangkitan pada kulitnya.
Sumber: Internat